Banjir: Lebih banyak sekolah dibuka sebagai PPS – KM
BATU BERENDAM 2 Jan- Sekolah di Melaka akan dijadikan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi menampung jumlah mangsa banjir yang dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembukaan lebih banyak PPS melibatkan sekolah itu akan dibuka selepas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi kebenaran hari ini.
Katanya, hal itu berikutan terdapat beberapa PPS dalam Daerah Melaka Tengah yang menempatkan mangsa terjejas banjir sudah penuh.
“Di PPS SK Taman Merdeka tidak dapat menampung mangsa banjir yang semakin meningkat jumlahnya.
“Di sini sahaja terdapat 55 keluarga melibatkan 215 mangsa (dan) mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di PPS perlu ada penjarakan untuk kemaslahan semua.
“Jadi sebabkan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah memberikan kebenaran untuk membuka sekolah-sekolah sebagai PPS,” katanya dalam sidang media selepas melawat PPS SK Taman Merdeka, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts Kamel Mohamad, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, saringan kesihatan di PPS yang dibuka akan dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Pihak KKM akan melakukan saringan kesihatan di PPS yang dibuka, selain memastikan semua mangsa ditempatkan di PPS menjaga prosedur standard operasi (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.