Banjir: Krubong paling terjejas di Melaka Tengah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 19 Dis – Krubong menjadi kawasan yang paling terjejas banjir di daerah Melaka Tengah, setakat hari ini.

Difahamkan, hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan termasuk Kampung Tanah Merah, Kampung Tampoi dan Kampung Lanjut Manis mula dinaiki air bermula petang semalam.

Setakat ini, terdapat dua pusat pemindahan sementara telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Krubong dan Balai Raya Kampung Tanah Merah yang memempatkan 123 mangsa dari 27 buah keluarga.

Situasi banjir yang berlaku itu telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.

Rais hadir turun padang bagi membantu keluarga-keluarga yang terjejas dengan banjir sehingga jam 2 pagi tadi.

Katanya, antara yang terjejas termasuklah sebuah keluarga yang bakal melangsungkan perkahwinan anaknya pagi ini.

“Saya menjengah keadaan Rahimah Dengkil dari Kg Tampoi yang merupakan seorang ibu tunggal yang sepatutnya akan mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada pagi ini.

“Namun disebabkan banjir malam tadi segala persiapan sedikit terganggu. Sempat saya titipkan pesanan pada mak cik Rahimah agar bertabah dalam ujian ini dan semoga kita mendoakan supaya krisis bencana ini tidak berlarutan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Pada masa sama, Rais turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan terlibat dalam membantu urusan banjir di negeri ini.

Beliau turut menghargai usaha kepimpinan peringkat DUN dan kampung yang bersungguh-sungguh membantu menguruskan penduduk yang terkesan dengan banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1499
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia tawar bantuan kepada mangsa banjir di media sosial
Next post Tanah runtuh di Taman Belimbing Setia
Ubah saiz-+=