Banjir kilat melanda, pelanggan Cendol Kampung Hulu tetap setia
BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Meskipun kedai dinaiki air akibat limpahan Sungai Melaka namun pelanggan Cendol Kampung Hulu tetap sabar menunggu air surut untuk menikmati hidangan pencuci mulut ikon Melaka itu.
Pemiliknya, Farizal Mustaffa,46 berkata hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan kedai makanannya dinaiki air setinggi paras lutut.
Katanya, dia yang baharu memulakan operasi perniagaannya hari ini selepas empat hari bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menganggap kejadian itu permulaan rahmat kepadanya.
“Saya sampai di kedai jam 8 pagi tadi, air sudah naik hingga ke paras lulut, namun ia beransur surut setakat jam 12 tengah hari tadi.
“Bagaimanapun, pelanggan terutamanya yang datang dari luar Melaka sudah menunggu hingga air surut, kita bertungkus-lumus untuk mengemas kawasan kedai bagi memastikan pelanggan duduk selesa.
“Buat masa ini kami fokus kepada pelanggan yang membeli secara pandu lalu,” katanya.
Dia berkata, banjir hari ini adalah yang ketiga melanda kedai makanannya dan dia menyifatkan ia perkara biasa setiap kali hujan lebat berterusan.
“Alhamdulillah, kejadian yang menimpa pagi ini saya anggap permulaan rahmat daripada-Nya, mungkin Dia mahu bagi rezeki lebih lagi selepas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.