Banjir kilat luar biasa, antara terburuk dalam tempoh 10 tahun – mangsa

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 12 Ogos – Mangsa banjir kilat sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah menyifatkan bencana melanda sebagai antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Tinjuan Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi mendapati paras air naik dengan mendadak menyebabkan ramai dalam kalangan mangsa mangsa terkandas lebih empat jam berikutan laluan utama dinaiki air sebelum dapat pulang ke rumah.

Whatsapp Image 2024 08 12 At 1.31.15 Pm
SALMAH.

Menurut mangsa, Salmah Abu Bakar, 49, dia terkandas di sebuah stesen minyak di Lubok China berikutan laluan utama ke rumahnya dinaiki air.

“Terdahulu pada sebelah siang saya ke Paya Lebar untuk bantu bersihkan rumah saudara yang dilanda banjir, selepas Maghrib saya bergerak pulang ke rumah di Lubok China, tetapi terkandas empat jam kerana laluan utama dinaiki air. Saya perhatikan paras air naik sangat pantas, berasa agak risau dan takut melihat keadaan itu.

“Lepas empat jam baru air surut dan saya bergerak pulang. Apabila tiba saya dapati rumah sendiri pula yang dinaiki air,” katanya ketika ditemui MHI, semalam.

Whatsapp Image 2024 08 12 At 1.31.47 Pm
ZAITON CHAIN.

Sementara itu, seorang warga emas, Zaiton Chain, 63, berkata banjir kilat melanda sekitar Alor Gajah termasuk di pakan Masjid Tanah dianggap sebagai luar biasa.

Meskipun rumahnya tidak terjejas akibat banjir, namun jalan-jalan utama ke Lubok China sudah dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.

“Pada sebelah petang saya ke Masjid Tanah untuk beli barang keperluan. Selepas Maghrib saya keluar semula namun ketika itu laluan berkenaan (hadapan Balai Polis Lubok China) ditutup kerana banjir.

“Saya memang terkejut sebab dalam kejadian yang lepas kalau banjir kilat tidaklah seteruk ini, kebiasaan air naik kenderaan masih boleh lalu depan balai polis, betul-betul luar biasa hujan lebat kali ini. Air naik terlalu laju,” katanya yang tinggal di Taman Wira Indah, Lubok China.

Terdahulu, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar daerah Alor Gajah itu mengakibatkan 21 kawasan terjejas.

Sehingga jam 12 tengahari ini, jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 419 mangsa daripada 123 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Antara kawasan yang terjejas iaitu di Kampung Paya Lebar; Kampung Ramuan China Besar; Kampung Bukit Apit; Kampung Ayer Limau; Kampung Sungai Jerneh; Kampung Lokek; Kampung Paya Rumput; Kampung Lubok China; Kampung Rantau Panjang dan Kampung Brisu.

Turut terjejas adalah di Taman Masjid Tanah Ria; Taman Bandar Baru Masjid Tanah; Kampung Belimbing Dalam; Taman Awan Biru; Taman Seri Bayu 2 dan 3; Taman Seri Aman; Kampung Solok Ayer Limau; Kampung Seri Jeram; Kampung Ladang; Kampung Keramata Lebai dan Panchor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post 84,000 Jalur Gemilang diagih ke Japerun seluruh Melaka
Next post Banjir luar biasa: Sistem perparitan perlu dikaji semula
Ubah saiz-+=