Banjir kilat landa beberapa kawasan di Melaka Tengah
BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah dinaiki air namun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, hujan lebat berterusan mengakibatkan air sungai melimpah ke kawasan rendah pada jam 7 pagi.
Katanya, antara kawasan terjejas adalah Kampung Telok, Bukit Katil, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat dan Bukit Cina.
“Turut terjejas banjir, Taman Peringgit Ria, Batu Hampar dan kawasan Ayer Keroh.
“Setakat jam 9 pagi tadi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka namun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka masih membuat pemantauan secara berterusan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, laluan utama di Batu Hampar bagaimanapun ditutup sementara pada jam 8 pagi tadi berikutan air naik di atas jalan raya.
Katanya, di lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Cempaka serta Melaka Sentral turut dinaiki air setinggi 0.3 meter namun satu lorong dibuka bagi pergerakan pengguna jalan raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.