Sorting by

×

Banjir kilat belenggu tiga keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Mei. – Hujan lebat sejak 5 pagi tadi menyebabkan kawasan rumah tiga keluarga di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak di sini, dinaiki air kira-kira 0.3 meter.

Banjir kilat berulang itu disebabkan tiada saliran keluar air ke parit besar hingga menyebabkan air bertakung hingga menjejaskan 20 orang dari tiga keluarga terbabit untuk melakukan rutin harian.

Nor Affandi Abu Bakar, 55, berkata ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh di masjid tetapi terpaksa membatalkan niatnya apabila mendapati air sudah naik di pekarangan rumahnya.

NOR Affandi Abu Bakar. – Foto DIN AHMAD

“Hujan lebat di kawasan ini sering menyebabkan banjir kilat kerana tidak ada laluan air keluar ke parit besar atau kawasan lebih rendah.

“Rumah saya, ibu dan kakak saya dikelilingi tebing agak tinggi yang menyebabkan air sukar mengalir ke tempat lain,” katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Berikutan itu, Nor Affandi dan anggota keluarganya serta ibu dan kakaknya yang berjiran terpaksa memindahkan peralatan elektrik ke tempat tinggi bagi mengelakkannya rosak.

Dia berkata, bagi mengelakkan air naik lebih tinggi, dia terpaksa menggunakan jentera pengepam air untuk menyalurkan air ke tangki takungan.

“Alhamdulillah, dengan menggunakan jentera itu air beransur surut pada jam 8 pagi dan kami mula menyusun semula peralatan elektrik dan sekali lagi terpaksa bertungkus lumus membersihkan rumah daripada kesan lumpur dan kotoran lain,” katanya.

BANJIR kilat sering melanda kediaman Nor Affandi dan kediaman ibu serta kakaknya di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Sehubungan itu, dia merayu Jabatan Pengairan dan Saliran atau Majlis Perbandaran Alor Gajah atau Jabatan Kerja Raya supaya membina saluran air dari kawasan berkenaan ke tempat lain.

Katanya, mereka tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan untuk membina kolong laluan air berkenaan kerana ia membabitkan kos tinggi.

“Kami tidak ada tempat lain yang boleh berlindung daripada masalah banjir kilat dan amat berharap kerajaan boleh membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Rumah Media, pejabat MHI jadi ‘pulau’
Next post Persimpangan Taman Nuri ‘sangkut’ banjir
Ubah saiz-+=