Banjir kilat bebankan penduduk Kampung Pantai Rombang
PANTAI KUNDOR 27 Nov. – Banjir kilat yang sering melanda kawasan sekitar Masjid Al-Hilal, Pantai Rombang, di sini sejak beberapa tahun lalu amat membebankan penduduk.
Mereka mendakwa keletihan untuk membersihkan kediaman setiap kali banjir surut dan meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil tindakan segera mengatasi masalah berkenaan.
Sudin Haron, 73, mendakwa dia dan penghuni lain sudah penat membersihkan rumah setiap kali banjir kilat melanda akibat hujan lebat antara satu hingga dua jam.
“Kami sudah banyak kali meminta MBMB membersihkan longkang besar di tepi Masjid Al-Hilal berhampiran rumah kami, tetapi tiada tindakan dan ia menyebabkan banjir kilat membebani kami,” katanya.
Beliau mendakwa, hujan lebat selama sejam mulai jam 7 pagi tadi menyebabkan air longkang berkenaan melimpah ke kediamannya dan sekurang-kurangnya enam rumah yang lain berhampiran masjid berkenaan.
Bekas imam Kampung Pantai Rombang itu mendakwa, aliran longkang berkenaan tidak mampu bergerak secara sempurna akibat dipenuhi kelodak lumpur yang dibawa dari kawasan lain.
Beliau mendakwa, keadaan itu semakin membebankan apabila ranting pokok yang dihanyutkan ke dalam longkang turut menyebabkan aliran longkang tersekat.
“Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa bersiap sedia untuk memindahkan peralatan elektrik ke tempat tinggi dan dalam tempoh sejam sahaja hujan lebat, air sudah naik setinggi kira-kira 0.3 meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Katanya, penghuni tujuh rumah berhampiran masjid berkenaan mengucapkan terima kasih kepada MBMB kerana membina longkang itu kira-kira enam tahun lalu berbanding saliran tanpa longkang sebelum itu.
Bagaimanapun, longkang berkenaan tidak mampu lagi menampung aliran air yang meningkat pada musim hujan, apatah lagi apabila dipenuhi kelodak lumpur.
Jurucakap MBMB yang dihubungi berkata, dakwaan penghuni terbabit akan disiasat sebelum tindakan lanjut diambil.
Sehubungan itu, jurucakap terbabit meminta penduduk kampung supaya bersama-sama memelihara kebersihan longkang berkenaan daripada dipenuhi sampah-sarap yang menyebabkannya tersumbat.