Banjir: Kerajaan cadang tambah siren dilengkapi amaran suara
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata ia merupakan antara cadangan penambahbaikan menghadapi bencana banjir yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 (MTL 2021/2022) dipengerusikannya hari ini.
Beliau berkata cadangan penambahbaikan turut meliputi Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kamera litar tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air supaya penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya serta ramalan cuaca berangka.
Katanya bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan peningkatan tahap perlindungan/kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI.
Selain itu, mesyuarat juga meneliti cadangan berhubung penambahbaikan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) menerusi aktiviti-aktiviti latih amal banjir dan maklumat yang dihebah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
“Kluster komunikasi strategik yang diterajui KKMM aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya MTL 2021/2022 dan usaha dipergiatkan sejak jangkaan akan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal,” katanya.
Beliau berkata strategi komunikasi melibatkan promosi hebahan amaran dan situasi semasa, hebahan bantuan-bantuan kerajaan, mengenal pasti isu berbangkit dan ditangani bersama pelbagai agensi serta usaha-usaha mengesan berita palsu dan segera menyiarkan penafian.
Menurutnya platform yang digunakan adalah media massa, media sosial, saluran Jabatan Penerangan, turun padang, advokasi, penerbitan dan usaha-usaha libat urus.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana MTL 2021/2022 akan sentiasa dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa diperkemas dan berada pada tahap optimum. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.