Banjir: Keluarga Adik Ainul tampil bantu mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER MOLEK 22 Dis – Rasa kesusahan yang pernah dialami ibu dan bapa Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumour sebelum ini membuatkan pasangan itu mahu membantu dan meringankan beban ditanggung rakyat yang terkesan akibat banjir.

Menurut bapa kanak-kanak berusia tiga tahun itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 26, berkata, suatu ketika dulu ramai rakyat Malaysia yang tampil dan menghulurkan bantuan buat anak sulungnya itu dan kini masanya dia membalas semula mereka yang pernah membantunya.

Katanya, kemungkinan mereka yang terjejas akibat banjir adalah mereka yang pernah membantu menyumbangkan dana dan menitipkan doa buat Ainul ketika menjalani pembedahan di London dua tahun lalu.

“Awalnya kami rancang untuk mengumpul barang dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja tetapi apabila melihat ramai yang terkesan, kami cuba maklumkan di media sosial bagi membolehkan lebih ramai yang menyumbang.

“Kami akan berusaha menyalurkan semua sumbangan ini kepada mangsa banjir selewat-lewatnya pada Rabu (esok). Inilah sikap rakyat Malaysia yang prihatin dan sudi membantu,” katanya.

Menurutnya, barangan yang berjaya dikumpul itu bukan sahaja datang dari penduduk Melaka malah ada dari Tangkak, Johor serta Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Sebenarnya kebaikan dan keprihatinan rakyat Malaysia buat Ainul tidak mampu kami balas jadi dengan usaha ini mungkin sedikit sebanyak dapat membalasnya.

“Bantuan ini akan diagihkan di Selangor kerana seperti yang kita tahu, ramai penduduk di sana terkesan selain itu kami juga akan menyalurkan bantuan seperti pakaian dan makanan kepada mangsa banjir di Lubok China juga,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik lori, Amir Atan, 60, menawarkan perkhidmatan kenderaan beratnya untuk menghantar bantuan secara percuma kepada mangsa banjir.

“Sebenarnya, lori ini sudah lama tidak digunakan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, jadi saya terfikir untuk membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post Banjir: Pusat pemindahan banjir ibarat rumah kedua Makcik Rohaya
Next post Banjir: 60 mahasiswa anak Melaka bantu keluarga terkesan banjir
Ubah saiz-+=