Sorting by

×

Banjir: Kariah masjid berjaga-jaga gelombang kedua

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER LIMAU 2 Jan – Hujan lebat sejak malam tadi membimbangkan anak kariah Masjid al-Wakil, Lubok Cina di sini, sekiranya berulang kejadian masjid itu ditenggelami air sekali lagi.

Pihak pengurusan dan anak kariah masjid hanya mampu berdoa agar masjid tidak tenggelam buat kali kedua selepas ditenggelami air sedalam kira-kira 2.3 meter pada 18 Dis lalu.

Pengerusinya, Nasarudin Mohamad, 60, berkata setakat jam 12 tengah hari ini, air sudah memasuki perkarangan masjid dan ruang di bahagian bawah yang bukan berfungsi sebagai ruang solat utama.

“Bulatan di tengah pekan Lubok Cina yang kira-kira 100 meter dari masjid sudah dinaiki air dan air mula masuk ke perkarangan masjid mulai jam 7 pagi ini.

“Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari, air di perkarangan dan ruang bukan solat tidak sampai 0.3 meter (satu kaki) dan tiada apa yang terdaya kami lakukan selain berdoa agar masjid tidak tenggelam sekali lagi,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Nasarudin Mohamad, 60.

Dalam kejadian banjir besar pada 18 Disember lalu, air naik setinggi kira-kira 2.3 meter dan menyebabkan pelbagai peralatan elektrik, perabot, permaidani, al-Quran musnah.

Nasarudin berkata, sehari selepas kejadian banjir besar itu, anak kariah dan anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan gotong-royong membersihkan masjid.

Katanya, usaha berkenaan dijalankan kira-kira 12 hari sebelum keseluruhan masjid berjaya dibersihkan.

Selain itu, katanya, pelbagai pihak menyedekahkan permaidani pelbagai saiz dan warna, selain sejadah, peralatan elektrik dan seumpamanya.

Kariah masjid berkenaan, Sulaiman Abdul Karim, 46, berkata kebanyakan anak kariah yang terbabit dalam gotong-royong itu sudah keletihan dan hanya mampu berdoa agar Allah menghindarkan masjid itu daripada dinaiki air lagi.

“Apapun, kami bersyukur kerana setakat jam 12 tengah hari, air masih belum melepasi tangga masjid dan masuk ke ruang solat utama.

“Bagaimanapun, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memindahkan pelbagai barangan ke tempat selamat jika air semakin meninggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post Banjir: Kaki terkena air kejutkan warga emas dari tidur
Next post Banjir: Lebih banyak sekolah dibuka sebagai PPS – KM
Ubah saiz-+=