Banjir: “Kami dah penat” – mangsa
TAMAN MERDEKA 2 Jan – “Sejak bulan Julai, Oktober serta Disember tahun lepas, hari ini masuk tahun 2022 (2 Januari) kami sudah penat hadapi banjir sebegini”.
Demikian luahaan salah seorang mangsa banjir yang tinggal di Taman Merdeka Jaya, Nursyadariah Abdul Kadir, 26.
Nursyadariah menjelaskan, air mula naik sejak jam 9 malam semalam (1 Januari), dan lebih merisaukannya pada waktu tersebut dia masih bekerja di sebuah premis perniagaan di Cheng.
“Pada waktu itu, saya amat risaukan keadaan ibu dan ayah saya di rumah, ditambah pula ayah saya lumpuh separuh badan kerana strok.
“Mujur jiran-jiran sekitar bersama pihak polis datang membantu ibu dan ayah saya keluar dari rumah tersebut untuk tempatkan kami sekeluarga di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Taman Merdeka, di sini, petang tadi.
Sebelum itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut melawat mangsa banjir di PPS tersebut.
Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa banjir, Siti Hasnah Husin, 52, menyifatkan banjir kali antara yang pantas melanda tetapi tidak seteruk banjir pada tahun 2006 lalu.
Siti Hasnah yang tinggal bersama suami, Muslim Abdullah, 54, dan seorang anak lelaki di Taman Merdeka Jaya menjelaskan, hasil pengalaman banjir yang lepas, dia bersama anak lelakinya sudah siap siaga menyelamatkan dokumen penting serta barangan elektrik serta perabot.
“Suami saya (Muslim) lumpuh separuh badan akibat strok, jadi saya bersama anak lelaki beserta bantuan dari jiran-jiran sekitar banyak membantu kami bagi mengeluarkan suami saya untuk ke PPS SK Taman Merdeka pada jam 12 malam tadi (1 Januari).
“Pihak berkuasa juga pantas memberikan amaran kepada penduduk sekitar kawasan ini untuk berpindah ke PPS, jadi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana bertindak dengan berkesan.
“Jauh di sudut hati, saya reda dengan dugaan banjir ini dan saya berserah kepada Allah SWT, dan kami amat bersyukur kerana jiran tetangga di sini begitu ambil berat antara satu sama lain,” kata ibu kepada dua anak itu.
Setakat jam 4.30 petang tadi, PPS di SK Taman Merdeka merekodkan kemasukan sebanyak 55 keluarga melibatkan 215 mangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.