Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan di Melaka pagi ini meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MELAKA 4 Jan – Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 2,674 orang pagi ini berbanding tengah malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah itu meningkat berbanding 2,591 mangsa yang dipindahkan pada jam 8 malam tadi.

Katanya, setakat ini jumlah PPS yang dibuka kekal sebanyak 22 lokasi membabitkan sembilan masing-masing di daerah Melaka Tengah dan empat di daerah Jasin.

“Jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Melaka Tengah meningkat kepada 1,425 mangsa membabitkan 374 keluarga manakala jumlah mangsa dipindahkan di daerah Jasin turut meningkat kepada 255 orang daripada 64 keluarga.

“Bagi daerah Alor Gajah, jumlah mangsa dipindahkan berkurangan kepada 994 mangsa membabitkan 258 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang masih terjejas banjir di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah kekal masing-masing 14 dan 10

Menurutnya lagi, sebanyak 33 kawasan masih terjejas banjir membabitkan 14 di daerah Alor Gajah, 10 di Jasin dan sembilan di Melaka Tengah.

Kawasan terjejas di Alor Gajah membabitkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau, Kampung Telok Berembang, Kampung Bukit Balai, Kampung Gangsa dan Taman Angkasa Nuri.

Manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya, Taman Tambhy Chik Karim, Rumah Awam Peringgit dan Kampung Bachang Darat, Balai Panjang dan Bertam Malim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

844
Kongsi :
Previous post Wanita didakwa menipu untuk terima bantuan banjir
Next post 60 petugas DBKL, PPj ke Melaka, Johor untuk misi bantuan banjir – Shahidan
Ubah saiz-+=