Banjir: Jawatankuasa Pengurusan Banjir di setiap JAPERUN – KM
SERI NEGERI 6 Jan- Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata perkara itu bagi memudahkan urusan dalam menyampaikan bantuan di kawasan-kawasan terjejas akibat banjir.
“Kerajaan negeri telah membincangkan isu banjir dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dan memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir di setiap JAPERUN.
“Perkara itu bagi memudahkan urusan menyampaikan bantuan kepada mangsa di kawasan-kawasan terjejas banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Post Exco di Bilik Bijasura, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman turut mengulas peruntukan RM8 juta yang telah diluluskan oleh kerajaan Pusat baru-baru ini bagi pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) jangka pendek.
“Peruntukan untuk RTB jangka masa pendek itu akan dilaksanakan secepat mungkin, selepas surut banjir sepenuhnya di Melaka.
“Pembinaan RTB jangka pendek ini akan dibina di beberapa kawasan antara 20 ‘hotspot’ lokasi banjir di Melaka antaranya di Taman Bukit Beruang Bestari dan beberapa kawasan yang disenarai pendek oleh Jabatan Perairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.