Sorting by

×

Banjir: Hampir 70,000 sedia dikerah hadapi banjir – PM Ismail Sabri

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Seramai 69,235 anggota keselamatan dan penyelamat di seluruh negara sedia dikerahkan untuk menghadapi bencana banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 21,018, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (18,511), Jabatan Bomba dan Penyelamat (14,829,) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (10,510) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) (4,367).

“Jumlah berkenaan akan ditambah sekiranya ia tidak mencukupi.

“Untuk banjir pihak PDRM telah bersedia…bukan setakat PDRM tetapi bersama agensi-agensi lain di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) seperti RELA, selain APM dan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas Taklimat Pilihan Raya Umum ke-15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengenai persiapan logistik menghadapi bencana banjir, Perdana Menteri berkata 1,816 bot PDRM, kenderaan pacuan empat roda (1,810), lori (1,596), 19 aset udara dan lain-lain aset udara akan terlibat untuk operasi banjir.

“Kalau kita lihat monsun (timur laut) ini mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu walaupun kadang-kadang berlaku di barat seperti di Selangor tetapi ia tidaklah berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap tidaklah (berlaku banjir besar) seperti biasa.

“Kalau banjir berlaku di kawasan dan negeri-negeri tertentu, anggota yang digerakkan pada kali ini mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat terutamanya yang terlibat pada waktu banjir,” katanya.

Mengulas mengenai sekiranya berlaku banjir luar biasa di seluruh negara, Ismail Sabri berkata jumlah keanggotaan akan ditambah mengikut keperluan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan timbalannya Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas mengenai sama ada cuti anggota PDRM akan dibekukan bagi menghadapi bencana banjir, Ismail Sabri berkata perkara berkenaan akan dimaklumkan kemudian dan diselaras oleh Mohd Zuki.

“Cuti banjir, KSN (Ketua Setiausaha Negara) akan tengok tetapi kebiasaannya kalau Disember pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan sebagainya tidak dibenarkan bercuti dan siap sedia untuk banjir. Cuti PRU (Pilihan Raya Umum) tidak perlu beku kerana ia sehari sahaja dan lagipun ia hari Sabtu (hari mengundi).

“Ramai yang tuduh kerajaan hendak buat trick konon-kononnya supaya orang nak balik suruh mengundi pada hari bekerja…ia tidak betul. Kita sudah tetapkan mengundi pada Sabtu dan kita bagi kebebasan sepenuhnya kepada rakyat untuk mengundi, jadi itu hak yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan adanya ejen perisikan dari Israel, Mossad yang aktif di Malaysia, Ismail Sabri enggan mengulas lanjut dan berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam taklimat berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1264
Kongsi :
Previous post Tiada rakaman video Najib di premis penjara – Jabatan Penjara
Next post PRU15: Calon BN perlu jalani tapisan termasuk dengan Jabatan Agama – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=