Banjir: Hampir 500 peniaga di Rantau Panjang terjejas
PASIR MAS 26 – Hampir 500 peniaga di Kawasan Bebas Cukai (KBC) Rantau Panjang, di sini, terpaksa menutup perniagaan mereka berikutan paras air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan sekitar, sedalam hampir satu meter, hari ini.
Tinjauan Bernama di kawasan tersebut mendapati hanya kenderaan berat sahaja yang masih menggunakan laluan terbabit dan terdapat beberapa peniaga yang sedang sibuk memunggah barang-barang perniagaan untuk dibawa keluar dari premis mereka.
Malah, rata-rata penduduk juga mula berpindah secara sukarela dengan menggunakan kenderaan pihak berkuasa ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat berikutan paras air Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah berada pada pada bahaya, dengan masing-masing merekodkan bacaan 10.44 meter (m) dan 25.72 m, setakat pukul 5 petang tadi.
Peniaga sayur-sayuran Rusizan Abdullah, 38, berkata beliau terpaksa menutup awal kedainya kerana bimbang dengan peningkatan paras air yang dilihat begitu cepat berbanding biasa.
“Saya lihat air mula memasuki beberapa kedai berhampiran dan sekiranya saya tidak menutup kedai dengan awal, saya akan terkandas nanti.
“Oleh itu, saya telah membuat persiapan awal dengan mengemas barang-barang di dalam kedai ini, selain mendermakan beberapa barangan jualan seperti sayuran kepada pelanggan supaya tidak membazir,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi peniaga makanan ringan Surina Ariffin, 55, pula berkata beliau telah menutup gerainya sejak semalam lagi, kerana rumahnya telah dinaiki air dan diarahkan untuk berpindah ke PPS.
“Rumah saya di pekan Rantau Panjang telah dinaiki air sehingga paras pinggang, sebab itulah saya terpaksa tutup kedai awal semalam kerana 10 pagi tadi saya telah berpindah bersama anak ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.
“Banjir kali ini agak luar biasa kerana paras air naik dengan cepat iaitu melalui Sungai Golok dan berlaku pula pada hujung Februari, saya ingatkan bulan ini tidak akan berlaku banjir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.