Sorting by

×

BANJIR DI TERENGGANU, MELAKA DAN JOHOR TIDAK BANYAK PERUBAHAN, MANGSA DI KELANTAN MENINGKAT

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR 24 November – Situasi banjir di Terengganu, Melaka dan Johor tidak menunjukkan banyak perubahan, manakala jumlah penduduk terjejas di Kelantan meningkat setakat pagi ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 228 orang setakat 8 pagi ini berbanding 250 orang malam tadi, yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang dan Dungun.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan 191 mangsa daripada 36 keluarga masih berlindung di empat PPS di Marang iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai, Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai, Dewan Sivik Mercang dan SK Pengkalan Berangan, manakala 37 mangsa daripada tujuh keluarga berada di dua PPS di Dungun iaitu SK Tok Kah dan Balairaya Alor Mak Bah.

Menurut portal InfoBanjir, paras air sungai di dua lokasi iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (F2) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit masing-masing di Setiu melepasi paras amaran manakala Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1) di sini melepasi paras waspada.

Di MELAKA, jumlah mangsa turut menurun sedikit kepada 220 orang daripada 60 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 231 orang daripada 64 keluarga malam tadi, yang masih berlindung di dua PPS di Melaka Tengah.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan 185 orang daripada 49 keluarga ditempatkan di SK Tanjung Minyak 2 manakala 35 orang daripada 11 keluarga berlindung di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundur.

Menurut sekretariat itu, kesemua mangsa merupakan penduduk di lima kawasan iaitu Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A, Kampung Pantai Kundur dan Taman Rambai Indah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri JOHOR Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata banjir di negeri itu kekal dengan satu PPS dibuka iaitu Balai Raya Batu Badak di Segamat, yang menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga yang tinggal di Kampung Seberang Batu Badak.

Beliau berkata lima sungai berada pada paras amaran melibatkan dua sungai di Tangkak (Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor) dan satu sungai di Segamat (Sungai Muar di Buloh Kasap), manakala dua lagi di Mersing (Sungai Paya Dato’) dan di Kota Tinggi (Sungai Pungai).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 76 orang selepas satu lagi PPS dibuka di SK Gual To’Deh, Pasir Mas pagi ini melibatkan 32 mangsa daripada tujuh keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah mangsa yang masih berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Beris Panchor, Bachok ialah seramai 44 orang daripada 12 keluarga.

Sementara itu, berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras amaran dengan ketinggian 8.73 meter (m) setakat 9 pagi ini, manakala tiga sungai melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan ketinggian 2.09m, Sungai Melor, Bachok 7.04m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh 2.14m.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post GENG RXZ BOLEH BERGAMBAR DI 6 LOKASI ‘INSTAWORTHY’ SEKITAR JASIN – MPJ
Next post LORI MENGUNDUR SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG MOTOSIKAL, PEMANDU LORI DITAHAN
Ubah saiz-+=