Banjir di 41 hotspot selesai, 18 lagi tambahan dikenal pasti
AYER MOLEK 31 Mei – Kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir di 41 lokasi panas dalam tempoh kurang enam bulan.
EXCO Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata tindakan pantas itu adalah hasil mesyuarat bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Tanah dan Daerah yang diadakan pada setiap dua minggu.
Katanya, mesyuarat itu turut memastikan tidak berlaku pertindihan tanggungjawab mahupun penugasan antara agensi berkaitan demi memastikan projek jangka pendek dan sederhana dilaksanakan secepat mungkin.
“Untuk makluman, sehingga kini bagi projek mitigasi jangka pendek dan sederhana yang dilaksanakan, kita berjaya menyelesaikan masalah banjir di 41 daripada 125 hotspot.
“Dan kita sedang melaksanakan (projek mitigasi jangka pendek) di lebih 50 kawasan hospot banjir manakala ada baki sedikit lagi.
“Pada saya ini adalah satu jangka masa yang cepat kerana semua projek berkenaan bermula sejak Dis tahun lalu dan dalam tempoh tiga empat bulan lagi, kita akan selesaikan (masalah banjir) di semua hotspot ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Dewan Japerun Ayer Molek di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek mitigasi berkenaan membabitkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan sebanyak RM80 juta.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, hasil tindakan secara berterusan agensi terlibat itu, pihaknya turut mengenal pasti 18 hotspot baharu berisiko dilanda banjir.
“Kawasan ‘hotspot’ ini adalah lokasi baharu yang mungkin kita tidak perasan atau tiada aduan diterima namun kita sendiri kenal pasti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.