Banjir: ‘Dah tiada barang nak diselamatkan’ – mangsa

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER LIMAU 1 Jan – Penduduk di Kampung Telok Berembang, di sini, reda apabila diuji dengan dua musibah banjir dalam tempoh dua minggu.

Zainon Abdul Ghani, 60 berkata, dia menerima qada’ dan qadar yang ditentukan Maha Esa walaupun masih trauma dengan kejadian banjir buruk 18 Dis lalu.

Meskipun banjir gelombang kedua pagi tadi tidak seburuk sebelum ini, namun, dia sekeluarga memilih untuk segera ‘menyerah diri’ ke pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Lubok China bagi mengelakkan sebarang insiden buruk.

“Banjir kali ini lebih perlahan, namun apabila air naik sahaja, mak cik tak tunggu lama, terus segera berpindah ke tempat selamat.

“Lagipun dah tiada apa hendak diselamatkan kali ini. Semua barangan di rumah sudah rosak dalam kejadian banjir sebelum ini,” katanya.

ZAINON

Dia yang juga pengusaha kuih tradisional berkata, dalam kejadian banjir dua minggu lalu, segala barangan seperti beberapa unit ketuhar, mesin santan dan peralatan ‘wiring’ milik suaminya musnah dek banjir.

Katanya, kerugian ratusan ribu ringgit itu menyebabkan dia dan suami kini hilang sumber pendapatan.

“Reda memang kena reda. Kalau tak reda mungkin kami sekeluarga boleh jadi sasau (gila).

“Ujian ini mungkin sebab Allah SWT nak duga minta kami semua sabar. Kita kena bersangka baik dengan segala ujian, kalau Allah SWT tak sayang, mungkin nyawa mak cik sudah ditarik dalam kejadian sebelum ini,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penghuni PPS SMK Lubok China, Zabedah Yaakob, 63 sebak apabila memikirkan nasibnya sekeluarga yang sekali diuji dalam musibah banjir.

Dia yang juga seorang ibu tunggal mengakui pernah terlintas untuk berpindah ke rumah lain kerana tidak lagi mahu mengharungi musibah sama berulang kali.

“Pernah mak cik minta anak-anak untuk bawa mak cik pindah ke rumah taman yang lebih kerana tak tahan dengan banjir yang berlaku ini.

“Tetapi apabila mengenangkan rumah dan tanah pusaka ini, rasa sayang pula untuk tinggalkan begitu sahaja.

“Jadi, mak cik harap apa jua kerja-kerja pembaikan empangan dan sebagainya dapat disegerakan kerana kami tidak mahu lagi duduk di rumah dengan perasaan takut setiap kali tiba musim hujan,” katanya.

ZABEDAH

Terdahulu, kesemua mereka menerima lawatan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di PPS berkenaan.

Sulaiman meluangkan masa kira-kira 30 minit sebelum bergerak melawat lokasi banjir yang melanda sekitar Lubok China.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts Kamel Mohamad, Exco Kerajaan Tempatan Datuk Zaidi Attan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post Penduduk sifatkan banjir di Jempol, Gemas terburuk dalam tempoh 50 tahun
Next post Banjir: Lebih banyak pusat pemindahan dibuka di Melaka
Ubah saiz-+=