‘Banjir berlaku pantas, air naik paras leher’

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SUNGAI PUTAT 17 Mei. – Hujan lebat kira-kira jam 6 pagi tadi mengakibatkan 18 keluarga di Kampung Sungai Putat berdepan situasi mencemaskan apabila air bah hampir menenggelamkan separuh kediaman mereka.

Mangsa banjir Abdul Jalil Arbak, 55, berkata, sewaktu hujan dia bersama lima ahli keluarganya berada di dalam rumah.

ABDUL Jalil

“Masa itu hujan ada berhenti sekejap, tapi dalam jam 7 pagi lebih hujan lebat semula dan sekejap saja dalam 8 pagi air sudah sampai paras lutut.

“Saya, isteri, anak-anak dan cucu sempat alih peti ais dan mesin basuh ke tempat tinggi tetapi sedang kami berkemas tiba-tiba air naik mengejut.

“Tanpa fikir panjang kami terpaksa tinggalkan semua barangan dan keluar selamatkan diri,” katanya yang terkilan tidak sempat menyelamatkan semua barangan di dalam rumah.

Abdul Jalil berkata, sebelum ini Kampung Sungai Putat kerap berlaku banjir namun tidak seteruk kali ini hingga mencecah paras dagu.

ANTARA kenderaan penduduk yang ditenggelami air banjir.

“Dalam setengah jam air dah paras dagu kami tidak fikir apa harta benda dapat diselamatkan. Yang penting semua keluar rumah.

“Semua perkakas dalam rumah habis rosak ditenggelami air, apa boleh buat banjir berlaku tiba-tiba.

“Seingat saya ini banjir yang paling teruk, biasanya air melimpah paras pinggang saja. Kali ini kereta yang parkir tepi jalan pun dihanyutkan air banjir,” katanya sambil menambah lebih 10 kereta penduduk ditenggelami banjir.

MAHAWA mengemas kedainya yang dilanda banjir kilat.

Mahawa Md Dali, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas kedai seorang diri untuk berniaga.

“Makcik duduk di Taman Bukit Beruang dan berniaga dekat sini dalam jam 7 pagi lebih. Waktu itu belum banjir lagi.

“Ketika sedang berkemas hujan lebat kira-kira jam 8 pagi dan sekejap saja air dah melimpah ke dalam kedai.

“Makcik seorang diri di kedai, memang takut hingga terpaksa duduk atas meja. Tapi air bah makin lama makin naik dan arusnya deras hingga terpaksa minta tolong orang selamatkan makcik ke atas jalan,” katanya.

Katanya akibat banjir itu dua peti ais, peralatan kedai serta kerusi dan meja rosak serta dihanyutkan air bah.

“Air naik sampai paras leher di dalam kedai, peti ais ada dua semua terbalik, pinggan mangkuk, meja dan kerusi semua dah hilang dihanyut air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post 40 mangsa banjir di kawasan Sungai Putat dipindahkan akibat banjir
Next post Polis tumpas sindiket pengedaran dadah, rampas syabu bernilai RM4.2 juta.
Ubah saiz-+=