Banjir beri rezeki tambahan
DURIAN TUNGGAL 23 Nov. – Banjir menguji anggota komuniti yang kediaman dan kenderaan mereka ditenggelami air tetapi dari aspek yang lain, memberikan rezeki tambahan.
Banjir di Durian Tunggal baru-baru ini memberikan rezeki tambahan kepada mangsa banjir dan anggota komuniti yang tidak terbabit dalam banjir apabila memperoleh ikan yang bagaikan rezeki datang bergolek.
Dengan menggunakan jala, jaring dan joran, mereka mencuba nasib menangkap ikan air tawar seperti haruan, keli, sepat, puyu, sebarau dan seumpamanya dengan menjadikan kawasan dinaiki air sebagai tempat operasi.
Azhar Abdullah berkata, beliau bersyukur kerana dalam tempoh kira-kira sejam menjala, beliau sudah memperoleh pelbagai jenis ikan seberat kira-kira lima kilogram (kg) untuk dijadikan juadah keluarga.
“Saya mula menjala dari jam 8 pagi dan sejam kemudian sudah dapat lima kg ikan puyu, sepat, keli Afrika dan haruan yang amat sedap jika dimasak asam pedas atau masak lemak cili padi.
“Ini adalah rezeki yang bukan selalu boleh diperoleh, sebaliknya hanya pada musim banjir,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau, Durian Tunggal baru-baru ini.
Rohaizad Ismail, 35, berkata beliau amat berpuas hati dengan seekor ikan keli Afrika seberat kira-kira tiga kg yang terperangkap pada jalanya.
“Ikan sebesar itu agak kenyal isinya dan cara untuk melembutkan dagingnya adalah dengan disalai terlebih dahulu sama ada untuk dimasak atau dimakan begitu sahaja,” katanya.
Liza Ahmad, berkata beliau mencuba memancing dengan menggunakan umpan cengkerik dan bernasib baik kerana memperoleh ikan betuk, tilapia dan haruan selepas memancing kira-kira sejam.
“Alhamdulillah, saya tidak bercadang menjual ikan itu, sebaliknya akan memasaknya untuk hidangan keluarga,” katanya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal.
Norasita Dewa, 50, berkata beliau berpuas hati dengan hasil diperoleh selepas dua jam memancing dengan mendapat ikan haruan, keli dan tilapia.
Tinjauan di pekan Durian Tunggal mendapati orang ramai memenuhi sebatang sungai di tengah pekan itu untuk memancing pelbagai jenis ikan, terutama betuk.
Kebanyakan mereka mampu memastikan plastik beras mampu diisi dengan pelbagai jenis ikan seperti sepat, keli, haruan, lampam dan sebarau.