Banjir: Ban pecah antara punca Lubok China tenggelam-EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MASJID TANAH 19 Dis- Tebing sungai di Telok Berembang dan ban pecah di Kampung Pengkalan Pauh antara punca Lubok China dinaiki air.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata perkara itu terjadi susulan hujan lebat berterusan lebih dari tempoh empat jam.

Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh penduduk sekitar Lubok China bahawa kejadian banjir itu merupakan yang paling teruk pernah berlaku dalam tempoh 50 tahun.

“Punca Lubok China ditenggelami air adalah disebabkan tebing sungai di Telok Berembang runtuh akibat limpahan air dari Sungai Rembau, Negeri Sembilan dan punca berlaku banjir di Pekan Lubuk Cina pula disebabkan oleh ban yg pecah di Kampung Pengakalan Pauh, itu sebab air melimpah dan paras air juga tinggi serta agak dalam di Lubok China.

“Saya turut dimaklumkan penduduk sekitar, banjir terakhir yang berlaku di Lubok China sebelum ini pada tahun 1971, lebih kurang 50 tahun lalu dan kali ini berlaku banjir yang agak dahsyat dan ini paling teruk yang pernah terjadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, di kawasan Masjid Tanah turut terjejas banjir adalah di Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar dan Kampung Ramuan China Kecil.

Beliau turut menasihatkan orang awam atau mangsa terjejas banjir untuk mengawasi anak-anak kecil untuk tidak bermain di kawasan banjir kerana dikhuatiri hanyut dibawa arus.

“Bencana banjir ini bukan satu pesta, jadi berhati-hati sebab kita tidak boleh menduga kedalaman serta kederasan air.

“Kadang kita tidak sedar anak kita main di arus yang deras, jadi untuk faktor keselamatan dalam musim banjir ini, ambil langkah berhati-hati kerana kita tidak mahu kehilangan nyawa orang yang tersayang,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Banjir: JAPERUN Paya Rumput digerakkan bantu kediaman mangsa banjir
Next post Permaisuri Agong berkenan tinjau situasi banjir di Dengkil
Ubah saiz-+=