Banjir: Bakal pengantin reda barangan kahwin musnah
AYER LIMAU 10 Jan – Seorang bakal pengantin menerima dengan reda dan sabar kemusnahan set bilik pengantin dan pelbagai barangan hantaran seminggu sebelum perkahwinan akibat banjir besar pada 18 Disember lalu.
Walaupun luluh hati menyaksikan kemusnahan katil, almari pakaian dan almari solek dalam bilik pengantin, selain pakaian, kasut, minyak wangi dan seumpamanya, Siti Nurul Ain Shahrom, 31, tetap tabah dan reda menerima ujian itu.
Menceritakan detik duka itu, Siti berkata, segala barangan itu disimpan di kediaman datuk dan neneknya, Othman Ishak, 88, dan Chek Mah Abdul, 75, di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina di sini.
“Keluarga saya bercadang mengadakan kenduri kahwin di rumah datuk dan nenek pada 25 Dis lalu selepas saya dan bakal suami bertunang pada 13 Nov, iaitu sebulan sebelum pernikahan.
“Kami sudah membeli set bilik pengantin dan pelbagai barangan hantaran untuk pengantin lelaki, selain cenderahati untuk tetamu majlis pernikahan dan persandingan tetapi segalanya musnah,” katanya ketika ditemui di kediaman datuknya di kampung itu, hari ini.
Siti berkata, dia amat terkejut apabila menerima panggilan daripada neneknya mengenai banjir besar melanda kampung itu pada awal pagi 18 Dis lalu.
Bagaimanapun, ketika itu dia tidak mampu bergegas pulang ke kampung kerana kawasan kediamannya di Batu 3, Shah Alam juga dinaiki air.
Hanya pada 21 Dis baharulah Siti berjaya melepasi banjir di Shah Alam dan pulang ke kampung untuk memeriksa barangan yang masih tersisa akibat bencana alam itu.
“Bakal suami saya menerima segalanya dengan reda dan dia juga terpaksa menghadapi banjir di tempat tinggalnya di Bentong, Pahang,” katanya.
Siti yang bekerja sebagai jurutera robotik di sebuah kilang di Shah Alam berkata, setakat ini, ibu bapanya yang tinggal di pekan Masjid Tanah dan pihak lelaki masih belum memilih tarikh pernikahan baharu.
“Saya dan keluarga bercadang mengedarkan kad jemputan perkahwinan pada 18 Dis tetapi segalanya hanya tinggal kenangan kerana ketentuan Allah tiada siapa yang mampu mengatasinya,” katanya.
Dalam kejadian 18 Dis lalu, sebahagian besar rumah di Kampung Telok Berembang, Kampung Pengkalan Pauh, Taman Wira Indah dan pekan Lubok Cina dinaiki air setinggi kira-kira dua meter mulai jam 5 pagi dan surut beberapa hari kemudian.
Ia adalah banjir terbesar sejak 1971 yang menyaksikan Masjid Al-Wakil di pekan itu tenggelam manakala ratusan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.