Sorting by

×

Banjir: ATM tambah anggota bersihkan rumah ibadat, sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SHAH ALAM, 25 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menambah 391 lagi anggota menjadikan keseluruhan 500 anggota terbabit proses bantuan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini dan Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata sebelum ini sejumlah 109 anggota diatur gerak bagi membersihkan kawasan terjejas banjir itu.

“Trup ATM ini akan membuat penumpuan kepada kerja-kerja pembersihan fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah yang terjejas,” katanya pada sidang media Ops Murni di sini, hari ini.

Menurut Affendi, ATM akan mengatur gerak aset termasuk pengorek kaut dan lori jongket serta aset tambahan lain yang diselaraskan bagi kerja-kerja pembersihan tersebut.

“Kami akan selaraskan kerja ini dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tujuan itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan aset ATM di Pahang, beliau berkata pihaknya menggerakkan aset-aset mobiliti lasak yang sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan.

“Antara aset terlibat seperti kenderaan trak tujuh dan tiga tan yang boleh meredah banjir selain penggunaan bot-bot tempur ATM,” katanya.

Dalam pada itu, Affendi memaklumkan kerja-kerja pembinaan jambatan sementara Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Kampung Bemban, Jelebu, Negeri Sembilan akan dimulakan sebaik proses tambak tebing selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Affendi berkata ATM sehingga kini masih mengekalkan kekuatan satu kompeni melibatkan lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

762
Kongsi :
Previous post Banjir: Melaka contoh negeri prihatin – Mohd Shahar
Next post JAWI keluarkan semula surat perakuan nikah yang musnah akibat banjir – Idris
Ubah saiz-+=