Sorting by

×

Banjir: 987 lokasi terjejas dibaik pulih babitkan kos RM1.4 bilion – Fadillah

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JELEBU, 11 Jan – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM1.4 bilion bagi kerja membaik pulih infrastruktur kritikal membabitkan 987 lokasi jalan rosak, jambatan runtuh dan runtuhan cerun yang terjejas susulan bencana banjir di seluruh negara setakat ini.

Lokasi berkenaan membabitkan cerun runtuh 449 lokasi, banjir (443), banjir kilat (62), jalan runtuh (23), jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh masing-masing dengan lima lokasi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 928 telah selesai kerja pembersihan dan dibuka untuk laluan sekurang-kurangnya satu lorong setakat hari ini.

“Jangkaan siap bergantung pada tahap kerosakan, fokus kami adalah jalan kritikal, kami akan pastikan jalan terputus itu akan dapat dilalui…jambatan dan cerun mungkin akan ambil masa untuk disiapkan berbanding jalan raya.

“Kami dah mulakan serta-merta selepas banjir reda dan ada jalan yang dah siap bulan ini, selain itu ada juga yang ambil masa sekurang-kurangnya enam bulan dan insya-Allah, dalam tahun ini kami usaha untuk siapkan semua,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan Kampung Bemban yang terjejas banjir di sini, hari ini.

Beliau berkata kerja pembaikan infrastruktur terbabit turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi dan kementerian termasuk kementerian Pembangunan Luar Bandar serta kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata di Negeri Sembilan pula sebanyak 67 daripada 75 lokasi jalan, jambatan dan cerun telah pun selesai dibersihkan membabitkan keseluruhan kos berjumlah RM72.9 juta dengan kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2022.

“Kerja pemasangan Jambatan Bailey sepanjang 18 meter merentasi Sungai Bemban di sini juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 21 Jan ini, jadi kami harap dengan adanya jambatan ini, satu-satunya jalan perhubungan kampung ini dapat dilalui,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Jeram Toi di sini telah dilaksanakan dengan kos sebanyak RM1 juta untuk kerja pembaikan jalan dan pembetungan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini termasuk lokasi lain yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

783
Kongsi :
Previous post Siasatan dakwaan salah laku Azam Baki masih terbuka oleh agensi penguat kuasa – Pengerusi LPPR
Next post Sijil vaksin palsu: JKN Terengganu kesan pembeli
Ubah saiz-+=