Sorting by

×

Banjir: 70,000 anak ikan tilapia merah mati

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 21 Dis – Hanya selepas empat hari dilepaskan ke dalam sangkar, 70,000 anak ikan tilapia merah yang dipelihara melalui projek penternakan ikan air payau Jabatan Perikanan di Kuala Linggi, di sini mati akibat banjir.

Arus deras Sungai Linggi berikutan hujan lebat di sebelah hulu sungai menyebabkan anak ikan yang dipelihara melalui projek penternakan itu tidak mampu bertahan.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon menjelaskan, hujan lebat mulai jam 3 petang, 17 Dis lalu menyebabkan arus sungai menjadi deras manakala sungai bertukar keruh dengan ketara.

“Kualiti air Sungai Linggi mengalami perubahan kadar kemasinan yang mendadak dan kadar kekeruhan air meningkat akibat kelodak yang dibawa oleh arus sungai.

“Kadar oksigen dalam sungai tidak stabil dan ini menyebabkan anak ikan tilapia mengalami tekanan sebelum mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MOHD Fauzi Salehon. Foto Din Ahmad

Anak ikan berkenaan dilepaskan ke dalam 64 sangkar ikan yang petak sangkarnya diperbuat daripada besi tahan karat manakala jaringnya diperbuat daripada nylon tahan rendaman dalam air payau pada 14 Disember lalu.

Sangkar yang setiap satu berukuran 3×4 meter itu dibina melalui pelaburan RM400,000 Jabatan Perikanan di perairan Kuala Linggi, iaitu lokasi pertembungan antara air masin laut
dengan air tawar Sungai Rembau.

Ketua nelayan bagi projek itu, Azmi Mohd Nordin berkata,
kejadian disedari pada malam 18 Dis lalu apabila ikan mati timbul di permukaan sungai.

“Beberapa peserta projek yang turun ke pelantar penternakan ikan sangkar pada malam itu terkejut apabila mendapati anak ikan sudah mati akibat banjir,” katanya.

Azmi berkata, nelayan terbabit terpaksa menunggu peruntukan lain untuk mendapatkan anak ikan tilapia yang dijangka Jan depan.

AZMI Mohd Nordin. Foto Din Ahmad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2529
Kongsi :
Previous post Tak mahu aktiviti rakyat terganggu, pembaikan jalan perlu disegera – PM Ismail Sabri
Next post Penduduk sifatkan banjir di Mentakab terburuk sejak 50 tahun
Ubah saiz-+=