Banjir: 595 mangsa di 9 pusat pemindahan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MELAKA 18 Dis – Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 595 orang setakat jam 12 tengah hari tadi, kata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, jumlah itu membabitkan 472 mangsa di daerah Alor Gajah dan 123 di daerah Melaka Tengah.

Ia melibatkan keseluruhan 112 keluarga.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) telah berkurangan kepada sembilan PPS sahaja berbanding 11 sebelum ini.

“Dua PPS di daerah Alor Gajah telah ditutup pada jam 10.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan Cerana Putih dan SK Telok Berembang selepas keadaan pulih,” katanya.

Beliau berkata, jumlah mangsa teramai ditempatkan di PPS setakat ini ialah di SK Belimbing Dalam dengan seramai 141 mangsa.

Ia diikuti PPS SMK Lubok China (88 mangsa), SMK Seri Pengkalan (68 mangsa), SK Durian Tunggal (67 mangsa), SK Krubong (62 mangsa) dan Balai Raya Kampung Tanah Merah seramai 61 mangsa.

Menurutnya lagi, setakat ini, terdapat 16 kawasan di Melaka Tengah masih terjejas banjir iaitu di Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee dan Jalan Monorail.

Selain itu ia turut melibatkan Kampung Enam, Melaka Baru, Kg Sungai Putat, Empangan Klebang, Taman Merdeka, Kampung Morten, Kampung Hulu, Kampung Cheeti Kampung Lanjut Manis Krubong dan Kg Tanah Merah.

Manakala daerah Alor Gajah melibatkan 11 kawasan iaitu di Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin dan Kampung Paya Lebar.

Sementara, Jasin kekal dengan hanya satu kawasan sahaja terjejas iaitu di Lubuk Kasau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

819
Kongsi :
Previous post Banjir: UnIPSAS tangguh istiada konvokesyen
Next post Program Pertanian Bandar bantu kurang kos sara hidup
Ubah saiz-+=