Bangunkan tanah adat bina rumah mampu milik

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 21 Julai – Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih ramai pemaju tampil membangunkan tanah adat atau tanah (MCL) dengan membina rumah mampu milik untuk golongan Bumiputera.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tanah adat di Melaka dianggap istimewa kerana boleh dibangunkan dengan projek rumah mampu milik bagi membantu golongan B40 dan M40.

Rais berkata, kelebihan dimiliki Melaka berbanding negeri lain itu digunakan untuk membantu lebih ramai golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri pada harga yang tidak terlalu tinggi.

“Bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, saya lihat trend pemaju membangunkan tanah adat semakin meningkat. Perkara ini dapat dilihat ketika fasa sebelum dan selepas pandemik, mungkin disebabkan kuasa membeli orang Melayu itu sendiri.

“Berbanding pembangunan kawasan lain, untuk tanah adat tidak perlu mengikut komposisi 10 atau 15 peratus (pembinaan rumah mampu milik). Kalau ada pemaju berminat untuk bangunkan tanah adat ini, kita galakkan tetapi pemilikannya adalah 100 peratus Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2023 , di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkifli Mohd Zin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka Datuk Ng Choon Koon; Penganjur MAPEX Datuk Ngoh Chun How; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Mohd Salleh Hamidom serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut Rais, Melaka menawarkan kadar termurah rumah mampu milik apabila masih ada kediaman dijual pada harga RM70,000.

“Pembangunan tanah adat ini digalakkan kerana ia tidak begitu luas. Paling luas mungkin sekitar tujuh atau lapan ekar sahaja, tetapi orang Melayu mampu untuk membeli kediaman ditawarkan dari RM250,000 kebawah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post Agong berkenan rasmi Kejohanan Karate Asia ke-19
Next post MAPEX rujukan bakal pembeli rumah
Ubah saiz-+=