BANGUNAN SEMENTARA IPD MELAKA TENGAH SELAMAT, HENTI TULAR FITNAH

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 3 September – Polis Melaka menafikan maklumat tidak sahih berkaitan isu perpindahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke bangunan sementara seperti yang tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, satu laporan polis telah dibuat susulan fitnah terbabit yang tular di aplikasi Telegram dan Tik Tok.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“IPD Melaka Tengah yang lama berusia lebih 100 tahun, bangunan itu tidak lagi selamat digunakan serta memerlukan kos yang tinggi untuk proses pembaikan.

“Bangunan yang ditularkan itu merupakan penempatan sementara yang mana ianya selamat dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sudah beberapa kali melawat bangunan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata penempatan sementara itu juga telah mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan dan cadangan pembinaan Kompleks IPD baharu tetap diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) menerusi Rolling Plan Ke-5.

Jelasnya, bangunan sementara itu selamat digunakan dan ianya turut mempunyai Sijil Kelayakan Menduduki (CF) daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003.

“Kini bangunan tersebut telah dibaik pulih hampir 96 peratus oleh kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka untuk dijadikan ruang pejabat bagi memastikan kesediaan IPD Melaka Tengah beroperasi sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan sebarkan berita tidak sahih.

“Pihak polis akan mengenakan tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah serta menyebarkan berita palsu dalam platform media sosial,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post DUA LELAKI CEDERA DILIBAS PARANG DALAM KEJADIAN SAMUN DI TUMPAT
Next post 32,676 KANDUNGAN PENIPUAN ATAU SCAM DITURUNKAN SETAKAT 15 OGOS
Ubah saiz-+=