BANGUNAN IPD MELAKA TENGAH LAMA, DIJADIKAN MUZIUM PDRM
BANDARAYA MELAKA 14 Disember – Bangunan bekas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, akan dibangunkan sebagai Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lebih menarik kerana lokasi bangunan bersejarah itu yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, cadangan itu susulan perpindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara di Batu Berendam.
“Buat masa ini kita belum ada sebarang keputusan muktamad sehinggalah termeterai persetujuan daripada pihak berwajib untuk menjadikan bangunan UNESCO ini sebagai Muzium Polis Melaka, baru kita tahu jangkaan bila ia boleh dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Community Policing IPD Melaka Tengah dan Majlis Penutupan IPD Melaka Tengah, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Negara; Tan Sri Razarudin Husain, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Azhar Arshad, Timbalan Ketua Polis negeri; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri; Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri; Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri; Datuk Fairul Nizam Roslan.
Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.
Sementara itu, dalam program tersebut, turut berlangsung sesi penurunan bendera Malaysia diikuti bendera Melaka dan PDRM sebagai simbolik perpindahan IPD Melaka Tengah.
Pada masa yang sama, turut diadakan Anugerah Khas kepada tiga Mentor PDRM iaitu mantan Ketua Polis Negara yang kelima; Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, mantan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman; Datuk Wira Hamza Taib serta mantan Timbalan Cawangan Khas 1, Bukit Aman; Datuk Ramli Hassan yang disampaikan sendiri oleh Ab Rauf sambil disaksikan Razarudin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.