BANGUNAN BAHARU SUNTIK SEMANGAT REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH
AYER KEROH 12 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, merasmikan Bangunan Baharu Pejabat Komander Rejimen 514 Askar Wataniah Kem Bukit Beruang.
Beliau yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) berkata, bangunan baharu tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pejabat komander, tetapi juga akan diguna sama untuk keperluan-keperluan formal yang melibatkan tugasan penting Rejimen dan JAKPAW.
Katanya, lebih menarik bangunan baharu tersebut telah diinspirasikan oleh komander rejimen terbabit dan dijadikan sebagai motivasi dan pembakar semangat anggota rejimen terbabit.
“Saya berharap dengan adanya pejabat ini tidak menjadikan warga rejimen terlalu selesa, sebaliknya menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk terus menempa kejayaan pada masa-masa akan datang.
“Semoga perjumpaan kita ini akan mempamerkan satu lonjakan paradigma untuk strategi dan langkah terbaik bagi memperkukuh momentum fungsi Askar Wataniah di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Merangkap Penaung JAKPAW Negeri Melaka Bersama Warga Rejimen 514 Askar Wataniah di Kem Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin serta kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut berbesar hati mengumumkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM5,000 kepada 12 orang anggota rejimen yang memerlukan.
“Besar harapan saya agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban anggota-anggota dan anak-anak mereka yang memerlukan rawatan kesihatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.