Banglo serendah RM365,500 buat anak Melaka
AYER KEROH 19 Mac – Sebanyak 223 unit rumah banglo serendah RM365,500 akan dibina menerusi Program Perumahan Penjawat Awam di Bukit Lintang, Ayer Molek, dekat sini, bermula Oktober depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, perumahan banglo dibangunkan menerusi Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd. (PMH) itu membabitkan empat jenis keluasan antaranya 4,000 hingga 6,000 kaki persegi akan diutamakan buat anak kelahiran negeri Melaka.
Beliau berkata, menerusi inisiatif itu 60 peratus kuota membabitkan 134 unit rumah akan ditawarkan kepada penjawat awam, manakala bakinya 89 unit akan diperuntukkan kepada individu bukan penjawat awam di negeri ini.
“Inisiatif pembinaan rumah itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan anak jati Melaka mampu memiliki rumah sendiri selari dengan perlaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).
“Kerajaan negeri akan mengutamakan pemilikan ini buat anak Melaka dahulu dan selebihnya akan ditawarkan kepada mana-mana individu yang layak bagi memiliki rumah dengan nilai jualan dari RM365,500 hingga RM424,500,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara PMH dan Handal Jaya Bina Sdn. Bhd. di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Seri Negeri, di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMH, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan; Pegawai Kewangan Melaka merangkap Lembaga Pengarah PMH, Datuk Zaidi Johari dengan Pengarah Urusan Handal Jayabina Sdn. Bhd, Datuk Sonny Tay.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PHM, Siti Ainshah Osman.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, projek berkeluasan 18.41 hektar dengan peruntukan RM85.12 juta di Bukit Lintang dalam tempoh tiga tahun itu bermula Oktober depan sekali gus membuka pembangunan baru yang terancang di kawasan pinggir bandar.
“Pembeli rumah yang dibangunkan PMH ini khususnya penjawat awam amat bertuah kerana kerajaan negeri bersetuju menukarkan status tanah terbabit dari berstatus pajakan kepada tanah adat Melaka (MCL),” katanya.
Projek yang dijangka siap menjelang Disember 2024 itu menawarkan empat jenis kediaman banglo jenis satu tingkat membabitkan rumah bersaiz 50 x 80 membabitkan keluasan 4,000 kaki persegi; 50 x 90 (4,500 kaki persegi), 60’x80′ (4,800 kaki persegi) dan 50 x 120 (6,000 kaki persegi) dengan harga berpatutan dan mampu milik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.