Bangkit dan tingkatkan ekonomi Melaka kembali – KM
SERI NEGERI 11 Mac – “Selepas dua tahun ekonomi Melaka suram, saya minta semua yang bertanggungjawab bangkit kembali tingkatkan ekonomi seperti mana negeri Melaka pernah gemilang pada suatu ketika dahulu”.
Itu saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika ditanya mengenai persediaan Negeri Melaka untuk menyambut kehadiran pelancong apabila sempadan negara mula dibuka pada 1 April depan.
Menurutnya, pemain industri pelancongan juga perlu mempromosikan lebih banyak produk pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong yang datang ke negeri ini.
“Seperti diumumkan Perdana Menteri sempadan akan dibuka pada 1 April, tadi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) saya dah maklumkan terutamanya sektor pelancongan untuk tingkatkan promosi.
“Begitu juga sektor industri, kita perlu menarik pelabur-pelabur untuk datang ke sini dan jadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan yang terbaik.
“Dahulu pelancong datang ke Melaka lebih 19 juta, jadi banyak tempat-tempat pelancongan yang perlu dipromosikan, pergilah ke luar negeri Melaka untuk promosi produk pelancongan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pencapaian 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Dan Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) versi 2 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pihaknya telahpun bersedia 100 peratus untuk menerima kehadiran pelancong luar memandangkan segala kemudahan infrastruktur telah dibaik pulih.
“Kita dah ‘ready’ (sedia) untuk terima pelancong luar, dalam tempoh pandemik COVID-19, banyak kawasan atau mekanisme yang telah kita tambah baik.
“Saya yakin kita 100 peratus bersedia menerima pelancong, semua infrastruktur pelancongan dan kemudahan telah dibaik pulih untuk menunggu kehadiran pelancong.
“Kita hanya perlu promosi dan memaklumkan kepada orang luar supaya terus datang melancong dan tinggal di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.