
Bangkai harimau belang di Kuala Krai tiada kesan tembakan, jerat – Perhilitan
KOTA BHARU 29 Jun – Pemeriksaan awal fizikal terhadap bangkai seekor harimau belang yang dijumpai di Sungai Pergau, Dabong di Kuala Krai semalam mendapati tiada sebarang kesan kecederaan, tembakan atau jerat pada haiwan itu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Mohamad Hafid Rohani dalam kenyataan hari ini berkata bangkai haiwan berkenaan telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak untuk prosedur bedah siasat.
Beliau berkata prosedur bedah siasat itu bagi merungkai punca kematian harimau berkenaan.
Sementara itu, Mohamad Hafiz menasihati orang ramai supaya berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar itu dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.
Semalam, media melaporkan penemuan bangkai seekor harimau belang di Sungai Pergau oleh penduduk tempatan sebelum memaklumkannya kepada PERHILITAN Kelantan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.