Bangkai buaya rupanya..
JASIN 9 April – Bangkai buaya tembaga sepanjang lebih tiga meter ditemui di Jeti Umbai, di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka Petra Sulai berkata, pihaknya menerima maklumat menemui reptilia itu kira-kira jam 10 pagi sebelum sepasukan anggotanya ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba dilokasi Perhilitan mendapati terdapat bangkai seekor buaya tembaga betina terdampar di jeti terbabit.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan buaya tembaga itu dianggarkan sepanjang 3.35 meter dengan berat antara 200 hingga 230 kilogram,” katanya.
Terdahulu, video penemuan haiwan terbabit tular di media sosial malah ada gambar orang awam mengambil gambar secara dekat dengan buaya tersebut.
Mengulas lanjut, Petra berkata bangkai itu kemudian dihantar ke Zoo Melaka bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Kita percaya buaya ini dari Sungai Kesang dan menggunakan persisir pantai ini bagi mencari sumber makanan dan pasangan.
“Malah ia kejadian pertama pada tahun ini membabitkan penemuan bangkai reptilia ini. Justeru Perhilitan menyeru orang ramai khususnya agar tidak bimbang dengan kejadian ini,” katanya.
Ujarnya, sekiranya orang awam ada ternampak dengan hidupan liar ini boleh menyalurkan maklumat kepada Perhilitan di talian 06-2345610 atau 013-4122589.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.