Sorting by

×

Bangga lahir pada Hari Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 16 September – “Sejujurnya kami amat berbangga dan teruja dilahirkan pada tarikh sama dengan Hari Malaysia iaitu pada 16 September,” kata Rafeah Ismail, 42.

Rafeah merupakan salah seorang daripada empat petugas SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) yang meraikan hari jadi pada tanggal 16 September, iaitu hari tertubuhnya Persekutuan Malaysia.

Menurut Rafeah, lahir pada tarikh itu dianggap cukup istimewa buat dirinya, apatah lagi bergelar sebagai antara petugas barisan hadapan dalam memastikan negara kekal bersih.

“Kami adalah anak-anak Malaysia yang dilahirkan dalam suasana aman dan sejahtera, dan kami berjanji untuk menjaga warisan ini demi generasi akan datang,” katanya.

Turut menyambut ulang tahun kelahiran pada tarikh yang sama ialah Muhammad Eizlan Samsul, 25; S. Yogeswari, 32; dan N. Yasitra, 32 yang masing-masing berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Yogeswari berkata, disebabkan tarikh lahirnya jatuh pada Hari Malaysia, ramai yang menggelarkannya sebagai ‘anak Malaysia’.

“Tarikh kelahiran kami adalah juga adalah hari kelahiran Malaysia. Jadi, setiap kali sambutan Hari Malaysia, kawan-kawan selalu mengucapkan Selamat Hari Jadi Anak Malaysia,” katanya.

Muhammad Eizlan pula menzahirkan rasa bangga dapat menjadi antara ‘hero’ pembersihan di negeri ini.

“Selain berbangga menjadi anak Malaysia yang dilahirkan pada Hari Malaysia, kami juga berbangga dapat menyumbang kudrat, tenaga dan keupayaan fizikal kepada kemajuan negara khususnya dalam sektor pembersihan.

“Pada masa sama, kami petugas tediri daripada pelbagai kaum turut membantu meningkatkan tahap kebersihan negara,” katanya.

IMG-20230916-WA0001
HARI Malaysia yang cukup istimewa buat empat pekerja pembersihan SWM Environment.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihak SWM Environment berbesar hati meraikan para pekerja pembersihan yang menyambut ulang tahun kelahiran pada sambutan Hari Malaysia.

“Sempena sambutan Hari Malaysia ini, adalah diharapkan seluruh warga kerja pembersihan SWM Environment, termasuk mereka yang hari lahirnya sama dengan Hari Malaysia, akan terus memberikan sumbangan bakti kepada negara dalam sektor pembersihan bagi memastikan agenda kebersihan negara terus menjadi salah satu komponen penting dalam pembangunan Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Wajah baharu Makam Tun Teja
Next post TMM2024: Panorama Melaka bakal miliki 63 bas
Ubah saiz-+=