Bandaraya utama Malaysia perlu rebut peluang bida jadi tuan rumah HAWANA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 29 Mei – Bandar-bandar utama di seluruh negara perlu merebut peluang membuat bidaan menjadi tuan rumah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) untuk tahun-tahun mendatang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, peluang itu perlu diambil memandangkan sambutan tersebut bakal menjadi acara tahunan yang lebih berprestij di masa akan datang.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan memberi komitmen penuh terhadap penganjuran majlis berkenaan yang bakal memberi impak besar kepada negara.

“Selepas Melaka, kita harap bandaraya-bandaraya utama negara dapat membuat pembidaan menjadi tuan rumah dalam memastikan HAWANA yang disambut pada 29 Mei bukan hanya satu majlis yang biasa-biasa.

“Jadi saya harap tuan rumah seterusnya dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti sekitar dunia kewartawanan, mungkin boleh laksana program kemasyarakatan, program bersama pelajar, wacana-wacana tempatan dan antarabangsa, serta lain-lain lagi.

“Kita mahu program yang diadakan turut memberi impak kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas majlis penutup Forum Media Nasional di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan harapan agar profesion kewartawanan boleh diangkat menjadi profesion yang dipandang tinggi oleh rakyat.

Katanya, menerusi Deklarasi Melaka 2022 yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia bakal menjadi satu ‘road map’ ke arah mengangkat bidang kewartawanan dalam negara.

“Kita tidak mahu HAWANA hanya menjadi satu majlis yang biasa-biasa. Saya harapkan lebih daripada itu yang mana saya mahu HAWANA melahirkan resolusi-resolusi baharu yang dapat memandu dunia kewartawanan.

“Perlu ada sinergi di antara persatuan wartawan dan kerajaan dalam menambah baik profesion ini dan seterusnya pemberian insentif boleh dilaksanakan untuk kemajuan bidang kewartawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut menzahirkan harapan agar ada satu badan induk, majlis atau persatuan wartawan kebangsaan dapat diwujudkan untuk menggabungkan kesemua wartawan dalam negara agar ia menjadi terus kukuh di masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post HAWANA diangkat jadi program nasional
Next post Program silat perlu diteruskan, simbolik perpaduan masyarakat – PM
Ubah saiz-+=