Bandaraya Melaka semakin bersih, aduan menurun
PANTAI KUNDOR 18 November – Pelaksanaan operasi Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuahkan hasil positif sejak ia mula dilaksanakan.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, sejak BEBAS dilaksanakan aduan berkaitan kebersihan diterima pihaknya menunjukkan penurunan berbanding sebelum inisiatif itu dibuat.
“Seperti sedia maklum operasi BEBAS ini kita laksanakan setiap minggu di seluruh kawasan pentadbiran MBMB iaitu sambil berjalan kita mengutip sampah serta mendekati masyarakat setempat.
“Pendekatan ini boleh dikatakan berkesan apabila kalau dilihat pada aduan diterima MBMB setahun lalu terutamanya selepas COVID-19, kita menerima banyak aduan membabitkan kebersihan.
“Tetapi sejak akhir-akhir ini aduan diterima baik menerusi sistem mahu pun media sosial sudah berkurangan dan ini mungkin kebersihan di kawasan itu baik susulan daripada operasi BEBAS yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang media pada Program Operasi Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) Bersama RHB Bank Berhad dan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @Hashim dan Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank Mohd Rashid Mohamad.
Menurut Shadan, hasil kira-kira 30 pelaksanaan operasi BEBAS, MBMB berjaya mengutip hampir 20 tan sampah-sarap di sekitar kawasan pentadbirannya.
“Sebelum ini operasi BEBAS ini hanya membabitkan warga MBMB sahaja namun kali ini ada kelainan apabila ada kerjasama dari pihak bank bersama-sama kumpulan volunteer turun padang mengutip sampah.
“Ini memberi petanda masyarakat setempat sudah peka dan sedar dalam menjaga kebersihan di kawasan mereka kerana tugas menjaga kebersihan ini bukan hanya tugas MBMB malah semua perlu memainkan peranan.
“Bagi merealisasikan Melaka sebagai negeri terbersih di Malaysia peranan semua pihak amat penting. Malah semalam MBMB juga telah terpilih sebagai agensi terbaik bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) sempena World Clean Up Day,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.