Bandar Botani Parkland berkonsep ‘ecoworld’ pertama di Melaka – KM
JASIN 25 September – Bandar Botani Parkland menjadi projek perumahan pertama di Melaka berkonsepkan Taman Bandar Kanal Buatan Manusia yang mementingkan gaya hidup berkualiti.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, projek perumahan di Jasin itu menyediakan sebanyak 3,891 unit kediaman untuk dimiliki dan ia disifatkan seakan-akan konsep Eco Majestic seperti projek perumahan EcoWorld yang terletak di Semenyih.
“Projek ini adalah perumahan bercampur berkeluasan 652 ekar dengan mengandungi lebih 3,000 unit rumah bernilai RM1.191 bilion berkonsepkan kejiranan berpengawalan (guarded neighborhood).
“Kawasan taman bandar seluar 30 ekar yang mengandungi kemudahan kesihatan seperti trek jogging dan basikal, taman permainan kanak-kanak dan gelangang bola sepak, badminton, sepak takraw dan bola keranjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Contoh Bandar Botani Parkland di Bandar Botani Parkland Fasa 2 Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Datuk Zaidi Attan; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom dan Pengarah Urusan Parkland Group, Victor Tan See Sen.
Sementara itu Victor berkata, kesemua unit kediaman yang dibina tersebut memerlukan tempoh masa 10 tahun untuk siap sepenuhnya.
“Kita nak perkenal kepada orang ramai bagaimana kita buat bandar ini yang merupakan bandar terbesar di Melaka, kita ada industri, komersial dan perumahan, ada kompleks beli-belah, taman bandar dan banyak lagi.
“Taman bandar ini pula kita buka kepada orang ramai untuk merasai duduk di Bandar Botani Parkland, kita telah berbelanja sejumlah RM100 juta hanya untuk membuat akses jalan yang lebih singkat.
“Dulu dari Tol Jasin sampai ke Bandar Melaka dalam 32 kilometer (km), sekarang ada jalan lebih singkat sejauh 20 km, ini sekali gus membantu Kerajaan Negeri mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak,” katanya.
Katanya, setakat ini bagi fasa pertama lebih 800 unit kediaman sudah terjual dan siap sepenuhnya pada September 2023.
“Sekarang kita nak lancarkan fasa dua yang juga mempunyai lebih 800 unit rumah, akan ada 10 fasa di bandar botani ini yang mana konsepnya lebih kepada gaya hidup baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.