Sorting by

×

‘BANANA BOAT’ AMBIL REMEH KESELAMATAN DITAHAN MARITIM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LINGGI 17 September – Padah mengabaikan aspek keselamatan penumpang, selain turut melanggar syarat sah lesen, sebuah bot penumpang yang mengusahakan aktiviti rekreasi air ‘Banana Boat’ ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Bot berkenaan yang dinaiki seorang jurumudi dan tiga lagi pekerja berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun ditahan pada jarak kurang 0.1 batu nautika barat daya Pantai Pengkalan Balak pada pukul 2 petang tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot tersebut ditahan sewaktu anggota sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Melaka.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen iaitu nama jurumudi tiada di dalam lesen bot dan membawa lebihan kru dan pekerja.

Jelasnya, bot berserta jurumudi dan kru itu ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

“Mereka dilihat seolah mengambil remeh isu keselamatan pengunjung dan peraturan sedemikian ditetapkan supaya bencana atau bahaya berpunca daripada operator bot dapat dielakkan.

“Oleh yang demikian, pengusaha bot dinasihatkan tidak mengambil sikap sambil lewa keselamatan di laut terutamanya kepada pengunjung yang hadir di sini,” ujarnya.

Menurutnya, penahanan bot rekreasi melanggar syarat sah lesen itu merupakan yang kedua pada tahun ini di perairan Pengkalan Balak.

Beliau turut meminta orang ramai agar dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post JURURAWAT MENGAKU TIDAK BERSALAH SEBABKAN KEMATIAN BAYI BERUSIA SEBULAN
Next post S-PLAN DITUBUHKAN SEMULA, LANCAR PENGURUSAN PELAJAR KE TIMUR TENGAH
Ubah saiz-+=