BAM sasar satu emas di Sepanyol
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasarannya sekurang-kurangnya Malaysia mampu memperoleh satu emas pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol pada Oktober depan.
Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek telah bersedia untuk menghantar 17 atlet ke kejohanan itu selepas melakukan persiapan rapi.
Beliau berkata, setakat ini persiapan dan latihan telah bermula sebaik tamat temasya Sukan Malaysia (Sukma) Edisi ke-22.
“Biarpun melihat bakal menerima cabaran besar dari negara-negara dari wilayah Asia Tengara dan dunia yang mempunyai ramai pemain bagus dan terbaik namun kita tetap optimis dengan barisan pemain muda yang bakal menggalas cabaran negara.
“Kita tahu di peringkat remaja dunia ini negara-negara seperti China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Taiwan dan Thailand kesemua negara berkenaan sangat aktif di peringkat badminton dunia dan ini akan menjadi persaingan yang besar.
“Jadi kita sebagai pesaing tentunya akan memberikan persembahan yang menyakinkan supaya peluang itu masih ada membawa pulang kejayaan pada pertandingan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) peringkat zon selatan yang dirasmikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.
Terdahulu dalam program diadakan di Kompleks Sukan Komuniti Krubong telah melaksanakam kem membabitkan 62 penyertaan pelapis cilik sejak tiga hari lalu.
Peserta yang membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor telah diberi pendedahan dalam membentuk kemahiran profesionalisme dalam sukan itu menerusi bimbingan jurulatih berpengalaman.
Sementara itu, semalam media melaporkan BAM telah mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan itu.
Antara 17 atlet negara yang disertai itu akan diketuai Justin Hoh, selain Eogene Ewe Eon bersama pemain Johor Ariffin Nazri, Bryan Jeremy Goonting, Choi Jian Sheng, Fazriq Razif, Wong Vin Sean, Aaron Tai dan Low Han Chen.
Manakala bagi senarai pemain wanita terdiri daripada Siti Nurshuhaini Azman, Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi, Vannee Gobi, Chong Jie Yu, Lai Ting Cen, Carmen Ting dan Lee Xin Jie.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.