Sorting by

×

Baling tin gamit nostalgia kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SUNGAI RAMBAI 10 Ogos – Mulanya kekok tapi selepas faham peraturan permainan barulah menjadi lebih mudah.

Demikian reaksi Muhammad Hafiz Qayyum Mansor, 12, ketika ditanya mengenai cabaran bermain sukan baling tin pada Festival D’Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, di sini, hari ini.

Katanya, pernah mencuba permainan itu di sekolah, namun tidak menyangka bermain dalam sawah bendang lebih mencabar.

“Ini kali pertama kali saya mencuba permainan baling tin dalam sawah dan pada permainan ini tidak terlalu sukar, cuma (peserta) kena fokus dan sasar betul-betul.

“Tapi alhamdulillah saya dapat jatuhkan tin, gembira sebab main di sekolah pun tak pernah menang dan ramai kawan-kawan yang hebat turut bermain di sini,” katanya yang berasal dari Teluk Rimba, Tangkak.

Bagi Muhammad Asriq Isyraq Saiful Rizal, 14, dari Merlimau, sukan itu menggamit kembali nostalgia sewaktu kecilnya bermain bersama rakan-rakan.

“Perasaan dia bila dah lama tak main memang teruja dan gembira, memang agak susah sebab kena fokus betul-betul pada tin tersebut.

“Ditambah pula kita bermain dalam bendang, ada air dan tanah yang tidak sekata, bagaimanapun saya seronok dapat jumpa ramai kawan-kawan baharu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rayqal Adha Muftah, 10, turut menyuarakan keterujaan kerana sanggup bangun awal pagi demi menyertai acara sukan itu.

“Seronok ada ramai kawan ikut sama, biarpun tak dapat jatuhkan tin tapi ini adalah pengalaman baharu untuk saya

“Nasib baik ada kawan beritahu tentang festival ini jadi dapat lah saya sertai sekali, tahun lepas tak dapat datang jadi tahun ini abang temankan untuk sukan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post Bila ‘otai’ memanah dalam bendang
Next post Koperasi di Melaka catat jumlah perolehan tertinggi sejak 2018
Ubah saiz-+=