Sorting by

×

‘Balau’ bangkitkan semangat OKU di platform maya

Masa Membaca:3 Minit, 14 Saat

BANDAR MELAKA 7 Disember – Kekurangan bukanlah kelemahan. Itu yang dibuktikan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) apabila membuktikan kegigihan untuk keluar dari ‘kepompong malang’ membuahkan kejayaan.

Walaupun fizikalnya tidak lagi sempurna selepas hilang sebelah tangan, namun Muhammad Hafiq Hizwan Norizan, 25, mengubah nasib dirinya dengan mula menjinakkan diri dengan platform media sosial.

Hasil kerja kerasnya, pemuda berasal dari Klebang itu kini bergelar antara ikon OKU paling berpengaruh di platform TikTok, Facebook dan Instagram.

IKON OKU

Balau yang ditemui pada Karnival Sukan Inspire OKU Aktif Peringkat Negeri Melaka berkata, untuk mencapai tahap yang ada sekarang bukanlah mudah.

Bermula dengan menjadi penghantar makanan dua tahun lalu, dia mula menjinakkan diri dengan platform dalam talian dan memuat naik video sebelum popularitinya kian mencanak pada tahun ini.

WhatsApp Image 2022-12-07 at 12.04.48
AKAUN TikTok balaustory yang menaikkan nama Muhammad Hafiq Hizwan.

Sehingga kini, dia mempunyai seramai lebih 333,000 pengikut dan meraih lebih 6.7 juta tanda suka di platform TikTok.

“Saya berterima kasih kepada semua yang banyak memberi sokongan kepada saya sehinggalah saya berada di tahap sekarang dan bergelar seorang ‘influencer’ (pempengaruh).

“Sekarang saya hanya ada satu tujuan iaitu nak bangkitkan semangat OKU di luar sana. Janganlah disebabkan kekurangan mereka beranggapan masa depan sudah gelap.

“Jadi saya mahu memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan sesuatu dan alhamdulillah setakat ini respon yang saya terima cukup baik,” katanya.

ANGKARA ‘MICROSLEEP’

Mengimbas kembali detik hitam yang menjadikannya OKU sekelip mata, Balau berkata, semuanya berlaku akibat kemalangan pada 2015.

Ketika itu, dia sedang mengikuti konvoi bermotosikal sempena bulan Kemerdekaan di Port Dickson.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka, dia mengalami ‘microsleep’ hingga menyebabkan motosikal dinaikinya merempuh pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, limpa saya pecah dan tangan kiri pula mengalami kecederaan parah menyebabkan doktor berkata ia mungkin tidak dapat diselamatkan.

“Selama dua bulan tangan saya dibalut tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tangan itu dipotong dan saya reda terpaksa menjalani kehidupan sebagai insan OKU,” katanya.

balau 2
HILANG tangan akibat kemalangan tidak mematahkan semangat Balau. Kredit: Facebook Muhammad Hafiq Hizwan Norizan

HATI KENA KENTAL

Sejak bergelar pempengaruh, Balau mengakui masih terdapat liku dan ranjau yang terpaksa ditempuhinya.

Antaranya, berdepan dengan pengikut yang bersikap toksik dan menjadikan kekurangan dirinya sebagai satu bentuk hinaan.

“Memang ada yang gelar saya cacat tidak sedar diri dan sebagainya, sedangkan mereka tak tahu ‘struggle’ yang kami golongan OKU alami.

“Tapi bagi saya mudah, lebih baik saya abaikan dan menganggap mereka sebahagian daripada mereka yang tidak menyukai saya.

“Lagipun daripada lebih 333,000 pengikut bukan semua begitu, hanya seorang dua sahaja dan selebihnya banyak memberikan sokongan dan kata-kata semangat,” katanya yang turut digelar lelaki mirip pelakon Faizal Hussein.

balau 1
BALAU bertekad mahu memberi inspirasi kepada OKU di luar sana. Foto: Instagram @balaustory

HEBAT DI BALAPAN

Bukan sahaja popular di platform media sosial, bahkan, Balau juga cemerlang dalam bidang sukan.

Beliau yang juga atlet Melaka, baru-baru ini berjaya meraih dua pingat emas dan satu perak dalam acara T46 lelaki 100 meter, 200 meter dan 400 meter pada temasya Para Sukma Majlis Sukan Negara (MSN) 2022.

Malah, katanya, kejayaan meraih dua emas itu merupakan yang pertama dalam kariernya selepas pada Para Sukma 2018 di Perak sekadar meraih satu gangsa.

313870271_1994401547436621_4295173272980045163_n
PINGAT emas pertama diraih Balau pada temasya Para Sukma 2022.

Justeru, Balau bertekad untuk meneruskan kecemerlangan itu dan menyasarkan untuk beraksi di pentas Asia Tenggara buat kali pertama tahun depan.

“Insya-Allah pada Februari 2023 saya akan menyertai kelayakan ke Para ASEAN di MSN Kuala Lumpur dan jika layak saya akan terbang ke Kemboja pada Jun untuk mewakili negara.

“Saya berjanji akan berjuang sehabis baik kerana memang impian saya untuk beraksi di pentas Asia Tenggara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3971
Kongsi :
Previous post Penyambung legasi pembikin bot Melaka
Next post PM Anwar bertemu Bilal Erdogan
Ubah saiz-+=