Balai uzur nelayan dibina semula, lebih selesa

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Jun – Nelayan di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri di sini menarik nafas lega kerana balai nelayan baharu siap dibinia menggantikan balai uzur yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 53, berkata dia dan rakan nelayan lain bersyukur kerana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) prihatin dengan rintihan mereka.

“Bangsal nelayan yang menempatkan 30 ruang perahu dan kelengkapan menangkap ikan itu sudah berusia lebih 20 tahun dan menunggu saat untuk rebah berikutan faktor cuaca dan air laut yang mengakibatkan struktur bangsal mereput,” katanya di sini hari ini.

AZMI. Foto Din Ahmad

Beliau menjelaskan, walaupun belum ada nelayan yang cedera akibat dihempap balai nelayan runtuh, aspek keselamatan mereka amat penting untuk dipastikan terpelihara.

Katanya, lerja pembinaan balai nelayan untuk 15 ruang perahu dan peralatan menangkap ikan itu sudah dimulakan bulan lalu dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Nelayan Mohd Rahmat Khamis, 38, berkata balai baharu itu diharapkan mampu menampung keperluan nelayan yang turut menyirat atau menjahit jaring yang terkoyak di bawah bangsal.

“Kalau hari hujan, kami terpaksa berpindah-randah ketika menyirat jaring yang koyak kerana kebanyakan bumbung sudah bocor.

“Saya harap balai nelayan baharu lebih kukuh berbanding yang lama dan menyediakan ruang lebih besar untuk membolehkan nelayan meletakkan perahu dan alat penangkapan ikan.

MOHD Rahmat. Foto DIn Ahmad

Mohd Arif Bugal, 58, berkata tindakan kontraktor menebang beberapa pokok yang sebelum ini merimbun di bahagian tengah balai itu harus dipuji kerana daun dan dahan pokok yang jatuh pada bumbung zink menyebabkan ia lebih cepat mereput dan rosak.

Peniaga ikan, Mohd Syafiq Abdullah, 63, berkata langkah LKIM membina balai baharu menceriakan nelayan kerana sekurang-kurangnya mereka tidak lagi bimbang dihempap balai yang sudah uzur.

Katanya, struktur tiang konkrit yang menggantikan tiang kayu mampu menahan ombak besar ketika musim ribut, terutama angin Monsun Barat Daya yang sudah bermula sejak Mei lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1265
Kongsi :
Previous post 164 pelajar terima bantuan sekolah fasa 2
Next post Cools tidak menyesal pilih wakili Malaysia
Ubah saiz-+=