
BALAI BOMBA BAHARU DI PEKAN ASAHAN
ASAHAN 12 April – Pembinaan Balai Bomba baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dijanhka akan direalisasikan tidak lama lagi selepas proses pengambilalihan tanah selesai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, balai bomba baharu itu dicadang akan dibina di Pekan Asahan.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inivasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pemilihan lokasi itu telah dicadangkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri selepas membuat lawatan ke sekitar DUN Asahan.
“Perkembangan terbaharu untuk membina balai bomba baharu, terkini ia dalam proses permohonan tanah daripada JBPM ke Kementerian Komunikasi.
“Saya difahamkan lokasi berkenaan adalah di atas tapak tanah pejabat pos Pekan Asahan dan proses permohohan untuk pertukaran tanah tersebut mengambil sedikit masa.
“Perkara ini juga telah dibincangkan bersama Exco Kanan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan kita menunggu sedikit sahaja masa lagi untuk dilaksana pembinaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Batang Melaka Jaya, di sini, semalam.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dab Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan, balai bomba baharu itu merupakan antara usaha dilakukan Adun Asahan dalam memastikan tempoh bertindak terhadap kes-kes kecemasan yang berlaku di sekitar Asahan dapat dipendekkan.
Sebelum ini, penduduk Asahan terpaksa bergantung kepada balai bomba yang terletak di sempadan Negeri Melaka iaitu Gemencheh sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.