Sorting by

×

Balai bomba baharu di DUN Asahan akan direalisasikan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ASAHAN 18 Julai – Usaha untuk membina sebuah balai bomba baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, bagi manfaat penduduk sekitar tetap diteruskan dan bakal direalisasikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perkhidmatan kebombaan amat penting dan pihaknya kini sedang menunggu kelulusan bagi pembinaan kemudahan berkenaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya masih lagi menunggu kelulusan dari pihak kementerian bagi membina sebuah balai bomba baharu di DUN Asahan dan meminta kerjasama serta penglibatan serius daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk bersama-sama merealisasikan perkara ini.

“Saya difahamkan hasrat ini telah lama diusahakan dan disenaraikan sebagai  keutamaan dalam ‘Rolling Plan’ Kerajaan Negeri namun ianya tidak dapat direalisasikan segera.

“Hal ini disebabkan beberapa faktor antaranya dalam aspek pemilikan tanah dan sebagainya. Jadi kita memandang serius supaya ia dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga  Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular Negeri Melaka di Japerun Asahan di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Alsagoff, Pengarah Jabatan Penerangan negeri (JaPen), Ab Rasil Hajatil, Ketua Pegawai Operasi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Mohd Jailani Deraman serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

210
Kongsi :
Previous post Perzim semak semula semua maklumat muzium, elak kekeliruan
Next post Jabatan kesihatan negeri pantau kes kencing tikus