Bakul Prihatin Negara boleh dimohon menerusi tiga talian
KUALA LUMPUR 20 Julai – Permohonan bagi program Bakul Prihatin Negara boleh dimohon menerusi tiga talian tambahan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), memetik sumber portal Berita Harian hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata sebanyak 6,584 permohonan diterima melalui Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di 108 daerah seluruh negara, Talian Kasih dan aplikasi WhatsApp.
“Kita menerima banyak permohonan melalui Talian Kasih dan umum mengetahui, talian ini bukan sekadar menerima panggilan berhubung bakul makanan saja tetapi juga perkara lain berkaitan kementerian.
“Justeru, kita mengambil inisiatif menyediakan tiga talian tambahan bagi memudahkan capaian permohonan iaitu 03-8323 2176, 03-8323 2177 dan 03-8323 2178.
“Selain itu, kementerian juga menyediakan medium permohonan alternatif melalui penggunaan Google Form yang boleh dilayari menerusi talian WhatsApp 017-3729702. Semua talian baharu ini mula beroperasi hari ini,” katanya selepas melakukan tinjauan dan menyantuni pemohon Bakul Prihatin Negara, hari ini.
Rina turut memaklumkan, seramai 1,355 penerima bantuan itu sudah disantuni, membabitkan 4,467 isi rumah di Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor, Perlis, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor.
“Pada waktu perayaan ini, kita mahu memastikan mereka ini mempunyai hidangan di atas meja. Bantuan melalui Program Bakul Prihatin ini akan diagihkan dengan kadar segera,” katanya.
Kementerian mendapat sokongan dan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta korporat yang menyalurkan dana bagi program berkenaan bernilai RM 16 juta.
“Hingga semalam juga, seramai 3487 orang sudah berdaftar sebagai sukarelawan Skuad Prihatin Negara,” katanya.
Pada program itu, Rina mengunjungi enam pemohon Bakul Prihatin Negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19, antaranya ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.