Sorting by

×

‘BAKSO TIPAH’ JUADAH ISTIMEWA AIDILFITRI KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT PAYUNG

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 31 Mac – Setiap kali tibanya Syawal, masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Payung tidak terkecuali daripada kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, ada satu keunikan dalam sambutan di perkampungan berkenaan di mana hidangan bakso dijadikan sajian utama raya di rumah Tipah Batar, 52.

Bagi Tipah keunikan itu menambah lagi kemeriahan suasana perayaan dengan pelbagai juadah disediakan khas untuk menyambut tetamu.

“Kalau ikut tradisi Orang Asli sama sahaja seperti masyarakat Melayu iaitu lemang mesti ada, selain kami juga buat rendang dan nasi himpit.

“Tapi saya buat kelainan sikit sebab suami saya orang Indonesia, jadi saya akan masak bakso pada raya pertama, memang rumah saya sahaja yang hidang menu bakso.

“Masa saya mula-mula buat bakso dulu, ramai yang terkejut sebab ini bukan makanan biasa dimakan penduduk di sini semasa raya. Tapi bila dah cuba, semua suka. Sekarang, tiap kali raya, mesti mereka cari bakso saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang bekerja di UniKL MICET di Taboh Naning memaklumkan persiapan raya untuknya dan keluarga telah dibuat lebih awal bagi memastikan pagi Syawal dapat ditumpukan kepada menerima kunjungan saudara-mara dan sahabat handai.

“Seperti kebanyakan masyarakat Orang Asli di kampung saya, Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar tentang ibadah dan tradisi, tetapi juga masa untuk berkumpul dengan keluarga serta rakan-rakan sekampung,” katanya.

Menurut Tipah sambutan di Kampung Bukit Payung biasanya sangat meriah, terutama pada hari pertama Syawal.

“Memang penuh rumah, budak-budak semua datang. Sejak awal pagi sampai ke malam, memang tak putus-putus tetamu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post RAMADAN, SYAWAL TERINDAH BUAT NUR HAURA JANE
Next post DUN PAYA RUMPUT BUKA TIRAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA