Bakso Surabaya pengganti hidangan Aidilfitri
AYER LIMAU 25 April – Biarpun lemang dan ketupat sinonim dengan suasana Aidilftri namun keunikan hidangan bakso yang dihidangkan tetamu menjadi kelainan buat keluarga Masinah Maruki, 71.
Baginya menu citarasa nusantara menggunakan resipi Surabaya, Indonesia itu bukan ukuran sebaliknya silaturahim yang dicipta mampu dikekalkan menjelang lebaran yang tiba.
Katanya yang menjadikan sajian itu sebagai menu tahunan utama keluarganya pada hari raya sejak berpindah ke negeri ini 13 tahun lalu merupakan hidangan popular yang dinantikan saudara maranya yang pulang ke kampung.
Bagi keluarga yang menetap di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, hidangan resepi keluarga yang dibawa dari Indonesia itu menjadi pengikat selera sekali gus membawa keunikan warna-warni lebaran.
“Setiap tahun bakso merupakan hidangan wajib keluarga untuk disajikan kepada sanak saudara yang datang sehinggakan ada yang menantikan hidangan ini setiap kali hari raya.
“Bakso ini dimakan bersama ‘pentol’ atau ketulan daging lembu yang dibuat sendiri dan dicampur dengan pentol yang dijual di pasaran.
“Kebiasaannya di Indonesia bakso dimakan bersama suun tetapi disebabkan harganya yang agak tinggi di pasaran kita menggantikannya dengan mi bihun.
“Hampir 1,000 ketulan pentol dan kira-kira 10 kilogram bihun digunakan untuk disajikan buat keluarga yang datang, ada antaranya dari Kuala Lumpur, Johor, Perak serta pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Masinah yang lebih mesra dikenali sebagai Mak Long berkata, persediaan memasak bakso akan dilakukan sehari sebelum menjelang Hari Raya dibantu anak tunggalnya, Putri Saleha Salihat,27 dan menantu, Azreel Ezuan Azman,30.
Ujarnya, persediaan hidangan bakso tidak begitu merumitkan berbanding memasak lemang atau rendang sehingga terpaksa mengambil masa berjam untuk disiapkan.
“Hidangan ini memang hidangan wajib setiap tahun tanpa menghidangkan ketupat, lemang ataupun sajian lain yang sinonim dengan perayaan itu.
“Kita mahu mencipta kelainan ini sebab susah pasti orang ramai sudah biasa dan jemu menikmati ketupat dan lemang atau hidangan lain, jadi juadah ini menggantikan kelainan itu.
“Kebiasaannya menjelang hari raya kedua juadah ini habis dihidangkan malah ada yang meminta membungkus untuk dibawa pulang, jadi selepas itu kita akan masak lagi untuk dijamu kepada tetamu.
“Juadah ini merupakan resipi asal keluarga diturunkan kepada saya sehinggakan sebelum ini pernah menjual secara kecil-kecilan menerima sambutan positif tetapi terpaksa dihentikan kerana faktor usia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.