Bakar tiga kereta sendiri untuk langsai hutang ‘ah long’ RM500,000
SUNGAI UDANG 21 Sept. Gara-gara ingin melangsaikan hutang pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ berjumlah RM500,000, dua lelaki bertindak ‘gila’ dengan membakar tiga kereta kepunyaan mereka.
Ketua Polis negeri, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, perbuatan itu bagaimanapun dapat dihidu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas suspek membuat laporan kononnya tiga kereta jenis Bentley, Ford Fiesta dan Hyundai Accent terbakar di Taman Datuk Tamby Chik Karim Batu Berendam pada jam 1.40 tengah hari, 13 September lalu.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut bagi membuat tuntutan palsu kepada pihak insurans sebanyak RM250,000.
“Apabila kita menyemak rekod jenayah suspek yang kita tangkap itu, kita dapati bahawa suspek ini mempunyai beberapa rekod jenayah yang melibatkan khianat dengan api, dadah dan juga curi.
“Hasil daripada soal siasat yang dibuat oleh pihak polis, kita dapati bahawa ketiga-tiga kenderaan ini dibakar dengan dirancang tiga bulan lalu bagi tujuan untuk membuat tuntutan insurans,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Udang di sini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan barang-barang bukti lain yang boleh mengaitkan kebakaran tiga kereta itu dengan kes hutang yang dihadapi suspek.
“Kita turut merampas dua unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek dan mereka kini ditahan reman sehingga 27 September ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.