BAKAL SISWAZAH DUN AYER LIMAU DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 19 September – Seramai 52 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima wang saguhati daripada Japerun Ayer Limau, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daripada jumlah itu, 25 daripadanya turut menerima sumbangan daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Katanya, sumbangan tersebut boleh digunakan penerima sebagai persiapan dan perbelanjaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

“Kesemua pelajar ini adalah daripada 17 kampung sekitar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di mana Japerun turut memperuntuk sedikit saguhati ke peringkat Sijil hingga ke Sarjana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Meraikan Bakal Siswazah DUN Ayer Limau 2024 Siri 2 di Kompleks Japerun Ayer Limau, 14 September lalu.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata pemberian saguhati tersebut merupakan sesi kedua selepas pelaksanaan pemberian sesi pertama pada Julai lalu.

“Kita juga harap saguhati ini dapat meringankan beban ibu bapa yang perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi anak-anak yang akan sambung belajar.

“Kesemua penerima sumbangan ini antara mereka yang cemerlang dan membawa keputusan memberangsangkan dan kita anggap sumbangan ini dapat memberi suntikan semangat kepada bakal graduan untuk sambung pengajian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

49
Kongsi :
Previous post PENSYARAH AGAMA BUKTI KEHEBATAN DI PENTAS PIDATO
Next post NAIK TARAF BULATAN KLEBANG SIAP OKTOBER
Ubah saiz-+=